Tiga ajaran al-Quran yang dilupakan semasa PRN Negeri Sembilan

Oleh KHALID SAMAD

Walaupun saya bukan seorang berkelulusan pendidikan agama Islam secara rasmi, namun saya telah sering didedahkan kepada ajaran al-Quran melalui program-program tidak rasmi, khususnya program-program gerakan Islam, termasuk anjuran Pas semasa saya bersama mereka.

Merujuk kepada apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, berdasarkan ilmu yang telah saya perolehi, amat jelas tiga prinsip al-Quran yang telah dilupakan oleh umat Islam, termasuk Pas, semasa berpilihan raya adalah seperti berikut:

1) Asas kesatuan dan kerjasama

Islam menganjurkan kesatuan dan kerjasama yang bermatlamatkan kebaikan dan bukan yang berdasarkan sentimen semata-mata.

Malahan, ada juga kesatuan dan kerjasama yang dikutuk Allah dalam al-Quran.

Ayat 2 Surah Al-Maidah menyebut ; “dan tolong-menolonglah kamu atas kebaikan dan ketaqwaan dan jangan tolong-menolong atas kejahatan dan perbalahan”.

Di Negeri Sembilan, BN dan PN menyeru ke arah kesatuan untuk menjatuhkan Datuk Seri Aminuddin Harun yang mesra dipanggil Tok Min dan DAP.

Namun, seruan itu bukan atas asas menegakkan kebaikan atau ketaqwaan tetapi atas asas dakwaan palsu bahawa “Melayu dan Islam tercabar”.

Dakwaan sebegini menanamkan kebencian dan kemarahan sedangkan tiada bukti akan kebenaran dakwaan tersebut.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Tok Min melakukan kebaikan dan berprestasi tinggi tetapi difitnah melakukan keburukan sehingga menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.

Dengan itu, umat Islam disatukan untuk melakukan kerosakan dengan menjatuhkan sebuah kerajaan yang difitnah jahat sedangkan ianya berfungsi dengan baik.

Dan tidak cukup dengan itu, menggantikannya pula dengan sebuah kerajaan yang terbukti , sebelum ini, jauh kurang berprestasi.

Menyatukan umat Islam atas kejahatan (fitnah) dan perbalahan (kebencian dan adu domba) jelas dikutuk Allah tetapi malangnya inilah yang kelihatan berlaku di Negeri Sembilan.

Pas yang sepatutnya mengingatkan umat Islam untuk bersatu atas kebaikan malangnya bersama menyeru umat Islam ke arah menentang kebaikan dan menyokong kejahatan.

2) Persaksikan keadilan walaupun terhadap yang dibenci

Melalui Ayat 8 Surah Al-Maidah Allah menyeru ummat Islam supaya sentiasa bertindak adil.

Ayat ini bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, berdiri tegaklah kamu semua sebagai saksi, kerana Allah, akan keadilan dan jangan atas sebab kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak bertindak adil. Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan ketaqwaan…”

Malangnya, umat Islam lupa akan tuntutan bertindak adil dan menjatuhkan kerajaan yang telah memerintah dengan baik dan berkesan atas sebab sentimen yang sengaja diada-adakan.

Mereka bertindak sedemikian atas sebab kebencian yang telah berjaya ditanam oleh BN-PN terhadap Tok Min dan DAP khususnya.

Walhal, kesalahan mereka yang menyebabkan mereka berhak dibenci dan dimarahi tidak pula dijelaskan apatah lagi dibuktikan.

Kebencian membuta tuli atas sebab dari kelompok yang berbeza merupakan sikap yang terkutuk dan wajar ditolak umat Islam.

Namun, di Negeri Sembilan ianya terbukti senjata berkesan walaupun kelompok berkenaan telah berjasa kepada bangsa dan negara.

Berdasarkan sentimen dan perasaan, umat Islam dibawa jauh dari prinsip yang diajar al-Quran dan bagi yang yakin bahawa al-Quran adalah “QalamulLah” atau kata-kata Allah dan “Dustur Hayat” atau perlembagaan hidup ke arah kejayaan dunia dan akhirat, tindakan sebegini akan membawa hanya kerosakan.

3) Menyerahkan amanah pemerintahan kepada yang ahlinya

Dalam ayat 58 Surah An-Nisa Allah telah berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah memerintah kamu untuk menyerahkan amanah (pemerintahan/kuasa) kepada ahlinya (yang layak) dan apabila kamu menghukum antara manusia, hukumlah dengan adil..”

Ayat ini turut dilupai umat Islam, terutamanya Pas, kerana kumpulan yang terbukti layak berdasarkan prestasi yang cemerlang telah diketepikan demi digantikan dengan kelompok sendiri yang jelas bukan ahli dan kurang layak.

Ini berdasarkan prestasi sebelum ini semasa kumpulan ini memerintah. Namun, demi memenangkan kumpulan dan pasukan sendiri maka yang lebih layak dijatuhkan.

Ini boleh turut dikategorikan sebagai assabiyyah kerana menyokong kumpulan sendiri dalam kezaliman, iaitu kezaliman menjatuhkan yang lebih layak dan menaikkan yang kurang layak.

Kalau dulu kita menentang BN kerana rasuah dan kronisme, tetapi sekarang kita menentang PH semata-mata kerana inginkan kumpulan sendiri berkuasa walaupun PH sedang menjalankan tugasnya dengan baik.

*KHALID SAMAD merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH).

BACA JUGA ‘Dulu marah saya guna media sosial, sekarang Exco pula buat’ – Puad sindir MB Johor