Kalah bukan penamat, PH bangkit semula daripada teguran elektoral

Oleh DR AZRIE AZEH

Dalam politik demokrasi, kekalahan pilihan raya tidak semestinya menandakan pengakhiran sesebuah parti.

Sebaliknya, kekalahan boleh berfungsi sebagai suatu bentuk teguran elektoral yang memberikan isyarat tentang perubahan kehendak, persepsi, keutamaan dan jangkaan rakyat.

Persoalan yang lebih penting bukan semata-mata mengapa sesebuah parti kalah.

Persoalan yang jauh lebih mendasar ialah:

Apakah yang dilakukan oleh parti selepas rakyat memberikan teguran tersebut?

Dalam konteks ini, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu dibaca dengan tenang, objektif dan berlapis.

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua negeri merupakan realiti politik yang serius dan tidak wajar dinafikan, diperkecilkan atau dirasionalisasikan secara berlebihan.

Di Johor, Barisan Nasional (BN) memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lapan kerusi. Kadar keluar mengundi direkodkan pada 68.73 peratus.

Di Negeri Sembilan pula, keputusan PRN memperlihatkan BN memperoleh 18 daripada 36 kerusi, PH 11 dan Perikatan Nasional (PN) tujuh. Dengan konfigurasi tersebut, BN menjadi blok terbesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, keputusan pilihan raya tidak wajar ditafsirkan secara simplistik sebagai suatu deklarasi bahawa rakyat telah menolak PH secara kekal.

Pilihan raya ialah mekanisme electoral accountability. Melaluinya, rakyat bukan sahaja menentukan siapa yang memperoleh kuasa.

Rakyat turut menilai prestasi, menghantar isyarat, memberikan ganjaran dan mengenakan hukuman politik terhadap parti yang memerintah.

Oleh itu, kekalahan harus dibaca sebagai data politik, bukan semata-mata trauma politik.

Soalan yang sepatutnya berada di hadapan kepimpinan PH bukanlah:

“Siapa yang harus dipersalahkan?”

Sebaliknya:

“Apakah yang sedang cuba diberitahu oleh rakyat kepada kita?”

Perbezaan antara kedua-dua persoalan ini mungkin kelihatan kecil. Namun, dari perspektif pembinaan institusi politik, implikasinya amat besar.

Institusi pembelajaran demokrasi

Dalam kajian politik perbandingan, kekalahan pilihan raya sering menjadi pencetus kepada proses party adaptation.

Ia merupakan keupayaan sesebuah parti menyesuaikan organisasi, kepimpinan, dasar, pemilihan calon dan strategi komunikasi dengan perubahan persekitaran politik.

Namun, tidak semua kekalahan menghasilkan pembaharuan.

Di sinilah terletaknya perbezaan antara parti yang sekadar mengalami kekalahan dengan parti yang belajar daripada kekalahan.

Sesebuah parti tidak semestinya merosot kerana kalah. Parti mula merosot apabila ia kehilangan keupayaan untuk belajar daripada kekalahan.

Dalam konteks PH dan PKR, kekalahan PRN Johor dan Negeri Sembilan wajar ditukar daripada political trauma kepada institutional learning.

Daripada menyalahkan pengundi, fahami pengundi. Daripada menyalahkan calon, nilai proses pemilihan calon.

Daripada menyalahkan media, nilai keberkesanan komunikasi. Daripada menyalahkan lawan, fahami mengapa tawaran politik lawan lebih meyakinkan.

Dan daripada menyalahkan keadaan, tanyakan apakah yang boleh dilakukan untuk mengubah keadaan.

Itulah perbezaan antara reaksi politik dengan pembelajaran politik. Parti yang matang bukan parti yang tidak pernah kalah.

Parti yang matang ialah parti yang mampu menukar kekalahan menjadi pengetahuan organisasi, pengetahuan organisasi menjadi pembaharuan, dan pembaharuan menjadi semula kepercayaan rakyat.

Kekalahan kekal

PH juga tidak perlu melihat kekalahan semasa sebagai suatu anomali dalam sejarah demokrasi.

Parti Buruh Britain pernah mengalami kekalahan besar pada 1983 sebelum melalui proses pembaharuan ideologi, organisasi dan strategi yang akhirnya membawa kepada kemenangan besar pada 1997.

Liberal Democratic Party (LDP) Jepun kehilangan kuasa pada 2009 sebelum kembali memerintah pada 2012.

Parti Liberal Kanada pula mengalami kekalahan besar pada 2011 sehingga menjadi kuasa ketiga di Parlimen sebelum kembali memenangi pilihan raya pada 2015.

Parti Sosialis Sepanyol (PSOE) turut melalui episod kekalahan dan krisis organisasi sebelum kembali membentuk kerajaan.

Pengajaran daripada pengalaman tersebut bukanlah bahawa PH mesti meniru mana-mana parti berkenaan.

Konteks Malaysia mempunyai sejarah, struktur sosial, sistem kepartian dan konfigurasi identiti politik yang tersendiri.

Namun, terdapat suatu prinsip yang lebih universal:

Kebangkitan politik bermula apabila sesebuah parti berani mengakui bahawa sesuatu tidak lagi berfungsi dan mempunyai keberanian untuk memperbaikinya.

Kemenangan semula tidak bermula dengan slogan baharu. Ia bermula dengan pembelajaran baharu.

Perubahan kepimpinan

Bagi PKR, cabaran yang paling segera ialah memastikan perbezaan pandangan dan perubahan kepimpinan tidak berkembang menjadi krisis institusi.

Perkembangan politik terbaharu, termasuk keputusan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, merupakan perkembangan signifikan kepada landskap politik parti.

Kedua-duanya mengumumkan pada Mei lalu bahawa mereka meninggalkan PKR dan akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa.

Namun, perkembangan tersebut perlu dibaca lebih luas daripada sekadar kehilangan beberapa individu.

Ia menyentuh persoalan yang lebih fundamental:

Sejauh manakah proses penginstitusian parti atau party institutionalisation telah berjaya dibina? Apakah yang menjadikan sebuah parti kukuh?

Bukan semata-mata kerana mempunyai pemimpin yang popular.

Parti yang benar-benar kukuh ialah parti yang mempunyai institusi, norma, mekanisme penggantian kepimpinan dan budaya organisasi yang mampu bertahan ketika berlaku pertukaran pemimpin, perubahan generasi serta perbezaan pandangan.

PKR mempunyai sejarah perjuangan yang panjang. Ia lahir daripada pengalaman Reformasi, berkembang melalui aktivisme demokratik dan jaringan masyarakat sivil serta membina identiti politik yang tersendiri.

Justeru, kekuatan PKR tidak seharusnya bergantung secara berlebihan kepada mana-mana individu.

Pemimpin boleh berubah. Faksi boleh berubah. Generasi boleh berubah tetapi institusi parti mesti terus hidup.

Inilah masa untuk PKR membuktikan bahawa regenerasi kepimpinan boleh berlaku tanpa mengorbankan perpaduan organisasi, prinsip perjuangan dan keyakinan akar umbi.

Cabaran DAP

DAP pula berhadapan cabaran yang berbeza.

Sebagai salah satu komponen utama PH, DAP mempunyai kekuatan organisasi, jaringan akar umbi dan identiti politik yang tersendiri. Namun, kekalahan juga menuntut muhasabah.

Perkembangan terkini menunjukkan DAP akan mengadakan pengundian pada 16 Ogos mengenai kedudukan pemimpin-pemimpinnya dalam kerajaan.

Perkara ini berlaku dalam suasana parti sedang menilai semula respons politiknya selepas prestasi pilihan raya yang mengecewakan, termasuk kekalahan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, di Negeri Sembilan.

Namun, persoalan ini perlu dibezakan daripada persoalan sama ada DAP meninggalkan PH atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Dalam teori coalition politics, gabungan politik bukanlah hubungan yang statik. Ia sentiasa melalui proses rundingan mengenai peranan, autonomi, strategi, sumber kuasa dan pembahagian tanggungjawab.

Oleh itu, semakan terhadap kedudukan DAP dalam kerajaan tidak semestinya harus ditafsirkan sebagai tanda keruntuhan PH.

Ia juga boleh difahami sebagai suatu bentuk coalition renegotiation iaitu proses menilai semula bagaimana sesebuah gabungan dapat berfungsi dengan lebih berkesan dan memperoleh legitimasi yang lebih kukuh.

Persoalan yang lebih penting bukan:

“Adakah DAP akan meninggalkan PH?”

Tetapi:

“Bagaimanakah DAP boleh terus menjadi komponen penting PH sambil memperluas penerimaan sosialnya kepada masyarakat yang lebih luas?”

Itulah cabaran sebenar. Kekal dalam PH tidak bermaksud menolak muhasabah.

Sebaliknya, PH hanya akan menjadi lebih kukuh apabila setiap komponennya mempunyai keberanian untuk menilai kelemahan sendiri tanpa menafikan kekuatan yang dimiliki.

Majoriti sosial

Cabaran PH bukan sekadar mendapatkan kembali beberapa kerusi. Cabaran yang lebih besar ialah membina semula majoriti sosial.

Teori electoral coalition menjelaskan bahawa kemenangan pilihan raya lazimnya bergantung kepada keupayaan sesebuah parti atau gabungan membentuk koalisi sosial yang cukup luas untuk menghasilkan majoriti elektoral.

Dalam konteks Malaysia, koalisi tersebut perlu merentas etnik, agama, kelas sosial, generasi, wilayah serta perbezaan antara bandar dan luar bandar.

PH tidak boleh meninggalkan penyokong tradisionalnya.

Namun, PH juga tidak boleh menganggap bahawa penyokong tradisional akan memberikan sokongan tanpa syarat pada setiap pilihan raya.

Politik Malaysia sedang bergerak ke arah konfigurasi pengundian yang semakin cair. Kesetiaan partisan tidak lagi boleh dianggap sebagai aset yang sentiasa terjamin.

Maka strategi yang diperlukan bukanlah menggantikan penyokong lama dengan penyokong baharu.

Sebaliknya, memperluas koalisi tanpa meninggalkan asas sokongan.

Inilah yang boleh dirumuskan sebagai coalition expansion without base abandonment.

Cabarannya bukan sekadar mendapatkan lebih banyak undi.

Cabaran sebenarnya ialah membina semula kepercayaan merentas sempadan sosial.

Makna Reformasi

Reformasi mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Salah satu persoalan paling mendasar yang perlu dijawab oleh PH ialah:

Apakah makna Reformasi kepada generasi baharu?

Bagi generasi yang melalui Reformasi 1998, istilah Reformasi mempunyai makna sejarah yang sangat kuat.

Ia berkaitan demokrasi, keadilan, kebebasan institusi, pemisahan kuasa, akauntabiliti dan penolakan penyalahgunaan kuasa.

Namun, bagi generasi yang lahir selepas era tersebut, persoalannya mungkin lebih praktikal.

Mereka mungkin bertanya:

“Apakah kaitan Reformasi dengan harga rumah?”

“Apakah kaitan Reformasi dengan gaji saya?”

“Apakah kaitan Reformasi dengan peluang pekerjaan?”

“Apakah kaitan Reformasi dengan pendidikan?”

“Apakah kaitan Reformasi dengan kos kehidupan keluarga?”

Inilah yang boleh disebut sebagai social translation of reform.

Reformasi tidak boleh sekadar menjadi identiti politik.

Ia mesti menjadi pengalaman rakyat.

Reformasi mesti bermakna institusi yang lebih adil, ekonomi yang lebih inklusif, mobiliti sosial yang lebih luas, peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan kerajaan yang lebih boleh dipercayai.

Jika tidak, Reformasi berisiko berubah menjadi suatu naratif sejarah yang semakin jauh daripada pengalaman generasi baharu.

Menilai pengalaman

Rakyat tidak hanya menilai dasar. Rakyat menilai pengalaman

Di sinilah teori retrospective voting menjadi penting.

Dalam kerangka ini, pengundi menilai kerajaan berdasarkan prestasi yang mereka rasakan serta pengalaman kehidupan yang mereka lalui.

Kerajaan mungkin mengatakan: “Pelaburan meningkat.”

Tetapi rakyat mungkin bertanya: “Adakah pendapatan saya meningkat?”

Kerajaan mungkin mengatakan: “Ekonomi berkembang.”

Rakyat mungkin bertanya: “Mengapa kos kehidupan masih terasa berat?”

Kerajaan mungkin mengatakan: “Reformasi sedang berjalan.”

Rakyat mungkin bertanya: “Adakah institusi negara benar-benar berubah?”

Inilah perbezaan antara policy output dengan citizen experience.

Sebuah kerajaan boleh menghasilkan pelbagai dasar, program dan angka pencapaian.

Namun, legitimasi politik tidak semata-mata lahir daripada jumlah dasar yang diumumkan.

Legitimasi berkembang apabila rakyat merasakan bahawa dasar tersebut menghasilkan perubahan yang bermakna dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, agenda kerajaan MADANI perlu sentiasa diterjemahkan daripada angka makro kepada realiti mikro.

Pertumbuhan ekonomi perlu dirasai melalui pendapatan dan mobiliti sosial.

Pelaburan perlu dirasai melalui pekerjaan berkualiti. Reformasi perlu dirasai melalui keadilan institusi. Tadbir urus perlu dirasai melalui kepercayaan.

Angka pencapaian penting, tetapi pengalaman rakyat menentukan makna politik angka tersebut.

PMX: Jangan takut melakukan pembetulan

Kepada Perdana Menteri, mesej selepas kekalahan bukan sekadar:

“Jangan risau.”

Mesej yang lebih penting ialah:

“Jangan takut untuk berubah.”

Kekalahan di peringkat negeri tidak semestinya bermakna agenda reformasi perlu ditinggalkan.

Namun, ia juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempertahankan semua strategi lama.

Dalam kerangka adaptive leadership, pemimpin perlu membezakan antara prinsip yang mesti dipertahankan dengan strategi yang mesti diperbaiki.

Reformasi institusi ialah prinsip.

Cara reformasi diterangkan kepada rakyat ialah strategi.

Tadbir urus bersih ialah prinsip.

Cara kerajaan membina keyakinan rakyat ialah strategi.

Keadilan sosial ialah prinsip.

Cara dasar ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan keluarga ialah strategi.

Maka:

Jangan berundur daripada prinsip hanya kerana strategi gagal. Ubah strategi supaya prinsip kembali dipercayai.

Inilah inti pati kepimpinan adaptif — bukan meninggalkan arah perjuangan, tetapi menyesuaikan cara mencapai arah tersebut apabila persekitaran politik berubah.

Menyerang lawan

Jangan terperangkap dalam negative partisanship. Selepas kekalahan, satu lagi bahaya ialah parti menjadi terlalu defensif.

Tenaga politik mula digunakan untuk menyerang lawan.

Apabila BN menang, PH menyerang BN.

Apabila PN berkembang, PH menyerang PN.

Apabila PKR dikritik, penyokong mempertahankan PKR.

Apabila DAP dikritik, penyokong mempertahankan DAP.

Akhirnya, politik berubah menjadi pertandingan mengenai siapa yang lebih buruk.

Inilah bahaya negative partisanship.

Sokongan politik yang dibina atas ketakutan atau penolakan terhadap pihak lawan mungkin memberikan pulangan elektoral dalam jangka pendek.

Namun, ia tidak memadai untuk membina legitimasi politik yang kukuh dalam jangka panjang.

PH perlu kembali kepada positive programmatic politics.

Bukan sekadar: “Jangan undi mereka.”

Tetapi: “Inilah sebab mengapa rakyat perlu memilih kami.”

Bukan sekadar: “Apa yang salah dengan mereka?”

Tetapi: “Apakah yang mahu kami bina?”

Politik yang matang tidak hanya menawarkan musuh untuk ditolak. Ia menawarkan masa depan untuk dipercayai.

Milik parti

Pengundi muda bukan milik sesiapa. PH juga perlu mengubah cara melihat pengundi muda. Pengundi muda bukan milik mana-mana parti.

Begitu juga pengundi Melayu, bukan Melayu, bandar atau luar bandar.

Analisis pasca-PRN Johor menunjukkan bahawa turnout merupakan pemboleh ubah yang sangat penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Kajian berasaskan data ekologi mendapati perubahan turnout boleh menjadi sangat besar antara pilihan raya.

Peningkatan sokongan BN di Johor pada 2026 banyak berkait dengan keruntuhan sokongan PN dalam kalangan pengundi Melayu, dengan pembalikan paling ketara berlaku dalam kalangan pengundi Melayu muda.

Pada masa yang sama, kira-kira dua pertiga kemerosotan PH dalam kalangan pengundi Cina dianggarkan berpunca daripada penurunan kadar keluar mengundi, bukannya semata-mata peralihan sokongan kepada BN.

Penemuan ini penting kerana ia mengingatkan semua parti bahawa pola pengundian tidak boleh dibaca melalui kategori yang terlalu mudah seperti “pengundi muda”, “pengundi Melayu” atau “pengundi bandar”.

Realitinya jauh lebih kompleks.

Generasi baharu menilai calon, prestasi kerajaan, naratif politik, media sosial, peluang ekonomi dan kos kehidupan secara serentak.

Mereka boleh menghukum kerajaan tanpa semestinya menjadi penyokong parti lawan.

Oleh sebab itu, pendekatan politik yang menganggap sesuatu kelompok sebagai “deposit tetap” parti semakin tidak sesuai dengan politik kontemporari.

Pengundi bukan lagi sekadar partisan. Mereka semakin menjadi evaluators. Mereka menilai dan mereka boleh berubah.

Titik persimpangan

Dalam teori historical institutionalism, terdapat konsep critical juncture — suatu titik persimpangan apabila keputusan yang dibuat selepas sesuatu krisis boleh menentukan trajektori sesebuah institusi untuk tempoh yang panjang.

PRN Johor dan Negeri Sembilan berpotensi menjadi critical juncture kepada PH.

Terdapat sekurang-kurangnya dua kemungkinan.

Spiral of decline

Kalah → saling menyalahkan → perpecahan → kehilangan kader → kehilangan akar umbi → kehilangan kepercayaan → kalah lagi.

Atau:

Cycle of renewal

Kalah → muhasabah → pembaharuan organisasi → penyesuaian dasar → pengukuhan akar umbi → peluasan koalisi → pemulihan kepercayaan → kebangkitan.

Perbezaannya bukan terletak pada keputusan pilihan raya. Perbezaannya terletak pada respons selepas pilihan raya.

Kekalahan ialah peristiwa. Kebangkitan ialah pilihan.

Kalah dan kembali

Sejarah politik Malaysia sendiri memberikan satu pengajaran yang penting.

BN mengalami kekalahan bersejarah pada PRU14 pada 2018 apabila kehilangan kuasa Persekutuan buat pertama kali sejak merdeka.

Namun, kekalahan tersebut tidak menghapuskan jaringan sosial, organisasi, identiti dan kapasiti politiknya.

Dalam perkembangan politik selepas 2018, BN kembali menjadi salah satu komponen utama dalam konfigurasi pemerintahan negara.

Pengajarannya jelas:

Kekalahan pilihan raya boleh mengubah kedudukan sesebuah parti, tetapi tidak semestinya menghapuskan keupayaan politiknya.

Selagi sesebuah parti masih mempunyai organisasi, akar umbi, kader, identiti politik dan kemampuan untuk belajar, ruang untuk kebangkitan sentiasa wujud.

Namun, kebangkitan tidak berlaku secara automatik.

Ia memerlukan institutional renewal.

Pembinaan semula politik

Oleh itu, PH tidak seharusnya berhenti pada post-mortem.

Post-mortem bertanya:

“Mengapa kita kalah?”

Political reconstruction bertanya:

“Apakah parti yang mahu kita bina selepas memahami mengapa kita kalah?”

Sekurang-kurangnya tujuh agenda perlu diberikan perhatian:

1) Electoral intelligence

Analisis pilihan raya perlu berasaskan data yang lebih terperinci, termasuk turnout, pola perubahan sokongan, isu setempat, demografi, prestasi calon dan variasi antara daerah mengundi.

2) Grassroots re-embedding

Pemimpin perlu kembali berada dalam komuniti sebelum pilihan raya, bukan hanya ketika meminta undi.

3) Candidate renewal

Pemilihan calon perlu lebih menekankan kredibiliti, integriti, rekod khidmat masyarakat, penerimaan setempat dan keupayaan membina hubungan merentas komuniti.

4) Policy translation

Dasar kerajaan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat difahami dan dirasai rakyat.

5) Coalition expansion

PH perlu memperluas penerimaan sosial tanpa meninggalkan asas sokongan sedia ada.

6) Leadership institutionalisation

Parti mesti lebih besar daripada mana-mana individu.

7) Internal democracy

Perbezaan pandangan perlu menjadi mekanisme pembelajaran organisasi, bukan secara automatik ditafsirkan sebagai ancaman kepada perpaduan.

PH tidak perlu menjadi BN atau PN

Dalam usaha mendapatkan semula sokongan rakyat, PH perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam usaha menjadi versi lain daripada parti pesaing.

PH tidak perlu menjadi BN.

PH tidak perlu menjadi PN.

PH perlu menjadi PH yang lebih matang daripada PH hari ini.

Kekuatan PH sepatutnya terletak pada kompetensi, integriti, reformasi institusi, keadilan sosial, ekonomi inklusif, tadbir urus baik dan kemampuan membina jambatan merentas masyarakat.

Jika PH kehilangan identiti sendiri semata-mata untuk mengejar segmen pengundi tertentu, ia mungkin memperoleh keuntungan jangka pendek tetapi kehilangan koherensi politik dalam jangka panjang.

Politik yang matang bukan politik yang meniru lawan.

Politik yang matang ialah politik yang memahami mengapa rakyat beralih tanpa kehilangan prinsip yang menjadi asas perjuangannya.

Kader PH jangan malu

Kepada anggota PKR dan PH, jangan malu kerana kalah.

Malu hanya jika kalah tetapi tidak belajar.

Malu jika rakyat memberikan isyarat tetapi kita enggan mendengar.

Malu jika kesilapan yang sama terus diulangi.

Dalam demokrasi, kekalahan bukan kehinaan.

Ia sebahagian daripada proses demokrasi mendidik parti politik.

Mungkin mesej rakyat bukan:

“Kami tidak mahu kamu selama-lamanya.”

Mungkin mesej mereka ialah:

“Kami mahu kamu menjadi lebih baik sebelum kami memberikan kepercayaan sekali lagi.”

Maka, jangan jawab kekalahan dengan kemarahan.

Jawab dengan pembaharuan.

Jangan jawab dengan propaganda.

Jawab dengan prestasi.

Jangan menyalahkan rakyat.

Kembali kepada rakyat.

Kekalahan yang bijak asas kebangkitan

PRN Johor dan Negeri Sembilan merupakan teguran politik yang serius kepada PH.

Namun, keputusan pilihan raya tidak menulis keseluruhan sejarah sesebuah parti.

Sejarah lebih banyak ditentukan oleh tindakan selepas keputusan tersebut.

Parti Buruh Britain pernah kalah.

LDP Jepun pernah kehilangan kuasa.

Parti Liberal Kanada pernah jatuh menjadi kuasa ketiga.

BN sendiri pernah kehilangan kuasa Persekutuan.

Namun, mereka kembali.

Bukan kerana mereka tidak pernah melakukan kesilapan.

Mereka kembali kerana mempunyai keupayaan untuk belajar, menyesuaikan diri, memperbaharui organisasi dan membina semula hubungan dengan rakyat.

Maka kepada PMX:

Jangan takut kepada kekalahan. Gunakan kekalahan untuk memperbaiki pemerintahan.

Kepada PKR:

Jangan biarkan perubahan kepimpinan menjadi krisis institusi. Jadikan ia proses regenerasi.

Kepada DAP:

Jangan takut kepada muhasabah. Semakan yang jujur boleh menguatkan perjuangan.

Dan kepada PH:

Jangan hanya mencari strategi untuk memenangi pilihan raya berikutnya. Bina semula sebab mengapa rakyat mahu memberikan kepercayaan.

Kerana dalam demokrasi moden, rakyat bukan sekadar pemilih.

Mereka ialah pengeluar legitimasi, penilai prestasi dan pemegang kuasa politik yang terakhir.

Rakyat telah memberikan isyarat melalui peti undi.

Isyarat itu mungkin menyakitkan.

Tetapi jika dibaca dengan rendah hati, ia juga boleh menjadi peluang yang sangat berharga.

Peluang untuk berhenti seketika.

Mendengar.

Mengakui.

Membetulkan.

Membina semula.

Dan kembali kepada rakyat dengan tawaran politik yang lebih matang.

Kekalahan hari ini tidak menentukan masa depan. Respons terhadap kekalahanlah yang akan menentukan masa depan.

Maka, jangan tutup buku selepas PRN.

Buka bab baharu.

Bukan bab tentang bagaimana PH mahu membalas kekalahan.

Tetapi bab tentang bagaimana PH mahu menjadi lebih baik daripada dirinya sendiri sehingga rakyat sekali lagi melihatnya sebagai pilihan yang layak untuk memimpin negara.

Kerana pada akhirnya, demokrasi bukan tentang memastikan sesebuah parti menang selama-lamanya.

Demokrasi ialah tentang memastikan sesebuah parti sentiasa layak untuk diberi peluang memerintah semula.

BACA JUGA Agong titah siasat ‘hingga ke lubang cacing’, jangan ada terlepas jika bersalah