PRN Melaka : PKR sudah jumpa Rauf, BN buka pintu rundingan kerusi

PKR Melaka sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, persiapan parti kini tertumpu kepada proses mengenal pasti calon dan kerusi, selain rundingan dengan semua pihak termasuk rakan dalam Barisan Nasional (BN).

“Persiapan di peringkat parti adalah mengenal pasti calon-calon, mengenal pasti kerusi, mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk rakan-rakan dari BN.

“Rauf telah menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana parti. Jadi ini kita terima dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas di Petronas NPE Pantai Dalam.

Fahmi berkata Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim, juga sudah memaklumkan mengenai beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama Rauf.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa rundingan kerusi antara PH dan BN di Melaka mula bergerak lebih awal, ketika negeri itu semakin menjadi tumpuan selepas beberapa perkembangan politik membabitkan BN, Pas dan PN.

Sebelum ini, FMT melaporkan Adam Adli berkata perbincangan kerjasama PH-BN menjelang PRN Melaka berjalan secara positif, termasuk pertemuan antara Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Ab Rauf.

Dalam masa sama, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN masih membuka ruang rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi, selagi dibuat secara jujur, ikhlas dan tidak menjejaskan jumlah kerusi setiap parti.

Zahid bagaimanapun menegaskan prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

Mengulas perkara itu, Fahmi menyambut baik keterbukaan BN untuk berbincang, malah berkata rundingan tidak hanya tertumpu kepada Melaka tetapi turut melibatkan kerusi di peringkat persekutuan.

“Berbincang bukan hanya mengenai negeri Melaka, tapi juga untuk kerusi di peringkat persekutuan,” katanya.

Menurut Fahmi, rundingan lanjut di peringkat PKR akan diserahkan kepada Naib Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, serta Pengarah Pilihan Raya PKR, Amirudin Shari.

Isu agihan kerusi Melaka menjadi semakin sensitif kerana BN sebelum ini memberi bayangan akan menampilkan gabungan muka lama dan baharu dalam PRN negeri itu. Bernama melaporkan Ab Rauf berkata pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu mempelajari selok-belok pentadbiran.

Pada masa sama, PN juga sudah menyatakan hasrat bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka, dengan pembahagian antara komponennya akan dimuktamadkan melalui rundingan.

Sebelum ini, Pas Melaka turut menyatakan hasrat bertanding di 16 kerusi DUN atau lebih pada PRN akan datang, satu perkembangan yang memberi tekanan tambahan kepada rundingan blok pembangkang dan BN.

Dengan BN membuka pintu rundingan kepada PH, sementara PN dan Pas turut mengintai ruang lebih besar, PRN Melaka kini dilihat bukan sekadar pertembungan kerajaan dan pembangkang, tetapi medan menguji sejauh mana formula Kerajaan Perpaduan mampu bertahan di negeri yang pernah menjadi kubu BN.

Bagi PKR, perbincangan awal dengan Rauf memberi isyarat bahawa parti itu tidak mahu menjadi penonton dalam PRN Melaka, sebaliknya mahu terlibat secara langsung dalam rundingan kerusi dan strategi gabungan.

BACA JUGA Disingkir Hadi, Bersatu label Samsuri ‘boneka’, mahu heret ke RoS