Untung RM3.4b, akhirnya rugi RM1.4b? AMK mahu ‘money trail’ Tabung Haji diburu

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, termasuk menjejaki aliran wang serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Naib Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata siasatan itu perlu memberi tumpuan kepada kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, pelaporan kewangan serta keputusan pemberian hibah yang didakwa tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar TH.

Menurutnya, RCI telah mengenal pasti kelemahan serius dalam tadbir urus TH, termasuk struktur pelantikan lembaga yang tidak menetapkan syarat kelayakan dan kepakaran mencukupi.

RCI juga merekodkan penglibatan ahli politik dalam kedudukan kanan TH serta pengaruh pertimbangan politik dalam beberapa keputusan penting institusi itu.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap kebebasan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban pengurusan institusi yang mengurus simpanan jutaan umat Islam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara isu yang dibangkitkan AMK ialah kaedah pelaporan kedudukan kewangan TH, termasuk pengiktirafan kerugian dan kemerosotan nilai pelaburan.

Taufiq memberi contoh bagi 2017, apabila TH melaporkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion, sedangkan selepas mengambil kira pelarasan yang dinyatakan RCI, kedudukan sebenar menunjukkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.

Katanya, perbezaan besar itu menimbulkan persoalan mengenai ketepatan gambaran kewangan yang menjadi asas kepada keputusan pengurusan serta agihan hibah kepada pendeposit.

AMK turut membangkitkan isu keputusan membayar hibah pada kadar tinggi dalam tempoh tertentu ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan.

Menurutnya, tindakan sedemikian akhirnya membawa kepada penghakisan rizab dan boleh menjejaskan daya tahan kewangan institusi dalam jangka panjang.

“Pulangan kepada pendeposit perlu disokong oleh prestasi pendapatan dan kedudukan aset sebenar institusi, bukan semata-mata untuk mengekalkan kadar hibah yang tinggi,” katanya.

AMK mahu ‘money trail’ dijejaki

Sehubungan itu, AMK menggesa Pasukan Khas Penguatkuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan audit forensik secara mendalam.

Fokusnya, kata Taufiq, perlu merangkumi usaha menjejaki aliran wang (money trail) serta mengenal pasti pihak yang mungkin bertanggungjawab terhadap penyembunyian maklumat atau kecuaian amanah.

Beliau berkata, ketiga-tiga isu berkenaan kelemahan tadbir urus, pelaporan kewangan dan keputusan agihan hibah mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Kelemahan tadbir urus boleh mempengaruhi kualiti keputusan, kelemahan pelaporan kewangan boleh mengaburkan kedudukan sebenar institusi, manakala keputusan agihan hibah yang tidak sepadan dengan kemampuan kewangan boleh menghakis rizab,” katanya.

Taufiq turut menyifatkan isu yang berlaku di TH sebagai persoalan besar berkaitan amanah terhadap institusi yang mengurus dana umat Islam.

Menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos, AMK berkata perbahasan mengenai salah tadbir urus TH perlu dibuat secara menyeluruh, berani dan telus.

“Pihak-pihak yang telah mengkhianati serta merosakkan institusi umat Islam ini tidak boleh lagi berselindung di sebalik kedudukan mahupun pengaruh politik, biar dari parti mana sekalipun,” katanya.

Menurut Taufiq, pemulihan imej TH perlu disusuli dengan pengukuhan akauntabiliti, tata kelola berasaskan syariat serta kawalan risiko yang lebih kukuh bagi memastikan institusi itu terus terpelihara untuk generasi akan datang.

BACA JUGA Pondok Kelantan tegur Hadi: Islam tak kuat dengan fitnah, Melayu tak kuat dengan ketakutan