RENCANA | Tragedi Bosnia bermula dengan budaya politik identiti, sama seperti Hadi Awang bawa
Bagi generasi yang membesar pada tahun 1990-an, tentu masih ingat bagaimana Malaysia memainkan peranan aktif membantu umat Islam Bosnia ketika perang saudara di sana.
Tapi tahukah kita, Muslim Bosniak, Serb Ortodoks dan Croat Katolik sebenarnya sudah hidup bersama di Bosnia selama berabad-abad? Mereka berjiran, bekerja bersama, malah berkahwin campur. Sarajevo pula pernah menjadi antara bandar paling kosmopolitan di Yugoslavia.
Jadi, bagaimana jiran yang hidup bersama boleh tiba-tiba melihat jiran sendiri sebagai ancaman?
Bosnia dan politik ketakutan
Salah satu bahan bakarnya ialah politik identiti yang diperkuat dengan doktrin agama, gaya yang sama kini dibawa oleh Pas dan Haji Hadi.
Semasa Tito masih hidup, wujud satu identiti payung yang kuat: “Kita semua rakyat Yugoslavia.”, “Brotherhood and Unity” (Bratstvo i jedinstvo).
Selepas Tito meninggal dunia pada 1980, Yugoslavia semakin lemah serentak dengan kemerosotan ekonomi dan sosial.
Daripada “Aku Yugoslav yang kebetulan Serb”, perlahan-lahan berubah menjadi “Aku Serb dahulu”.
Ahli politik kemudian menemui senjata yang sangat kuat untuk mendapatkan sokongan: ketakutan identiti. Maka mulalah timbul parti berasaskan agama dan kaum.
Wacana politik sudah tidak lagi berkenaan ekonomi, pekerjaan dan kos hidup. Wacana politik berubah menjadi Bosniak Muslim vs. Serb Ortodoks vs. Croat Katolik.
Formula sama di Malaysia
Samalah seperti Haji Hadi yang seolah-olah baru tersedar sejak PRU-15 lalu. Rupanya, apabila Pas meniupkan api perkauman dan agama secara serentak, Pas berjaya menambah kerusi daripada 18 menjadi 43.
Sejak dulu, Haji Hadi hanya bergayut pada politik agama dan menganggap politik berasaskan kaum BN sebagai asabiah jahiliah. Tiba-tiba, apabila doktrin agama dan politik kaum digabungkan, itu ibarat pil ajaib.
Maka, formula sama kini cuba digunakan untuk PRU-16.
Umno sejak dulu membawa mesej nasional dan perpaduan kaum walaupun menjadi jaguh Melayu. Namun, kini Umno cuba meniru Pas dan Haji Hadi apabila dilihat lebih lumayan.
Ini satu titik perubahan penting kepada negara kita. Perhatikan baik-baik.
Politik gaya ini memang lumayan, tapi kosnya besar, bakal ditanggung oleh anak cucu kita.
Tentulah negara kita belum sampai ke tahap seperti di Bosnia. Tetapi sejarah sepatutnya dipelajari sebelum sesuatu tragedi berlaku, bukan selepasnya.
Di Bosnia pada tahun 1990-an, apabila ahli politik mula menjadikan identiti dan ‘rasa terancam’ sebagai senjata, sejarah-sejarah lama mula digali semula untuk ditafsir mengikut kepentingan politik.
Begitulah juga apa yang kini dilakukan oleh pemimpin Pas. Sebab itu kita mula mendengar istilah ‘pendatang’, ‘Tanah Besar China’ dan ‘balik India’.
Istilah agama seperti ‘harbi’, yang bermaksud ‘diperangi’, mula meniti di bibir-bibir ahli Pas.
Di satu pihak, medan prestasi pentadbiran, pekerjaan, pelaburan, gaji, pendidikan, air dan kos hidup dipilih sebagai modal politik.
Di pihak Pas pula, ‘Melayu dan Islam Terancam’ dijadikan medan.
Apabila rakyat sudah menerima kerangka itu, prestasi pentadbiran dah tidak penting lagi. Sebab ketakutan kini lebih kuat daripada angka ekonomi.
Adakah politik identiti penyebab perang di Bosnia? Ya. Tetapi politik identiti ialah “bahan bakar”, bukan keseluruhan enjin.
Apabila orang seperti Haji Hadi mendakwa, “Keselamatan bangsa kamu bergantung kepada aku kerana kumpulan sebelah mahu menghancurkan kamu,” medan politik berubah sama sekali. Ia bukan lagi mengenai “Siapa boleh memberi kehidupan lebih baik”, tetapi “Siapa boleh melindungi kumpulan aku daripada mereka”.
Terpulanglah kepada rakyat Malaysia sama ada masih mahu menggalakkan orang seperti Hadi terus berasa gelojoh bermain dengan api perkauman dan agama.
Atau kita mula merenung semula jiran tetangga kita—Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan—dan kita katakan: kita sayang keharmonian ini dan kita menolak gaya politik Haji Hadi yang akhirnya bakal menyebabkan kita melihat jiran sebagai ancaman.
Hadi mungkin hidup dan membesar dalam masyarakat Marang yang hampir tiada langsung kaum lain, dan itu membentuk pemikiran politiknya.
Tapi janganlah biarkan dia membawa cara fikirnya sehingga menghancurkan fabrik masyarakat Malaysia yang sangat majmuk ini, bukan hanya di Semenanjung, malah di Sabah dan Sarawak.
Artikel ini disiarkan kembali dari laman Nadi Daily
BACA JUGA Mesyuarat khas bahas laporan RCI Tabung Haji esok, Wanita PKR adakan himpunan depan Parlimen