RM400 sudah masuk? Petani, pekebun kecil diminta semak akaun BUDI hari ini

Bantuan tunai RM400 di bawah program BUDI MADANI Agri-Komoditi bagi bulan Ogos 2026 telah disalurkan kepada petani dan pekebun kecil yang layak di seluruh negara.

Kementerian Kewangan dalam hantaran di Facebook memaklumkan bantuan itu melibatkan RM200 bantuan sedia ada dan tambahan RM200 secara interim bagi membantu meringankan kos serta menyokong kelangsungan golongan berkenaan.

“Bantuan tunai sebanyak RM400 telah disalurkan bagi membantu meringankan kos dan menyokong kelangsungan petani dan pekebun kecil,” menurut hantaran itu.

Menurut infografik Kementerian Kewangan, bayaran bagi permohonan yang dibuat dari 1 hingga 31 Julai 2026 telah disalurkan pada bulan Ogos 2026.

Penerima yang layak diminta menyemak akaun masing-masing bagi memastikan bayaran berkenaan telah diterima.

BUDI Agri-Komoditi merupakan bantuan subsidi tunai bersasar kepada petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian berkaitan, khususnya bagi membantu menampung kenaikan kos diesel jentera pertanian.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan menambah baik bantuan diesel bersasar dengan menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan bagi membantu golongan yang terkesan.

RTM pula melaporkan BUDI Agri-Komoditi membantu petani dan pekebun kecil terus menerima bantuan bersasar, dengan penerima layak di seluruh negara menerima bantuan tunai RM400 sebulan.

Berdasarkan jadual pembayaran yang dikongsikan Kementerian Kewangan, permohonan bagi tempoh 1 hingga 31 Ogos dijadual menerima bayaran pada 8 September, manakala permohonan 1 hingga 30 September akan dibayar pada 8 Oktober.

Permohonan bagi Oktober, November dan Disember pula masing-masing dijadual dibayar pada 6 November, 8 Disember dan 8 Januari 2027.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan bantuan tunai bersasar sampai terus kepada kelompok yang benar-benar memerlukan, khususnya dalam sektor pertanian dan komoditi.

Pada Mei lalu, kerajaan turut bersetuju meneruskan inisiatif BUDI Agri-Komoditi secara bersasar bagi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Orang ramai yang mahu membuat permohonan atau semakan boleh berbuat demikian melalui portal rasmi BUDI MADANI.

BACA JUGA Tular Jalur Gemilang dikibar tidak cukup sifat di Terengganu