‘Daripada takutkan Melayu dengan DAP, baik nasihatkan Hadi jawab skandal TH’ – Faiz selar Fadhli
AMANAH menyelar Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa keliru dalam membezakan antara DAP dan Pakatan Harapan (PH) ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, kenyataan Fadhli lebih menjurus kepada persepsi terhadap DAP, sedangkan Abdul Hadi pula membina persepsi terhadap PH.
Menurutnya, menyamakan DAP dengan PH adalah salah dan tidak bertanggungjawab kerana DAP hanyalah salah satu daripada parti komponen dalam gabungan tersebut.
Faiz berkata, PH juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengancam kedudukan Melayu dan Islam, malah menurutnya sentiasa mempertahankan kedua-duanya.
“Presiden Pas telah memberikan persepsi salah terhadap PH dengan mendakwa DAP memimpin PH sedangkan PH dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang Melayu Islam dan timbalan pengerusi pula terdiri daripada Presiden AMANAH dan Timbalan Presiden PKR yang juga Melayu Islam.
“Jelas, Presiden Pas mahupun Fadhli tiada apa-apa hujah atau asas fakta untuk mendakwa DAP memimpin PH, melainkan membina persepsi negatif terhadap PH dengan menjadikan DAP kambing hitam untuk mencipta ketakutan dalam kalangan orang Melayu,” kata Faiz kepada Harapan Daily.
Beliau berkata, sebaliknya Pas yang gagal memberikan justifikasi atas asas apa penyatuan umat Umno-Pas boleh memajukan Melayu dan membela Islam.
Sebagai contoh, apabila timbul laporan RCI Tabung Haji, tiada apa-apa kenyataan bersama Umno-Pas mengutuk salah laku yang dilaporkan dalam laporan tersebut.
Ironinya kata beliau, penyatuan umat hanya timbul ketika pilihan raya, sedangkan kedua-dua parti sentiasa bercakaran merebut kuasa dan kedudukan, dan ini terbukti ketika PN memerintah tahun 2020 dahulu.
“Fadhli seharusnya menasihati Presiden Pas untuk membuat pendirian berkaitan skandal yang berlaku di dalam TH dan bukan mengalih isu tersebut kepada penyatuan umat dengan meniup kebencian terhadap DAP bagi menutup salah laku yang berlaku di zaman pentadbiran Umno dahulu,” katanya.
BACA JUGA Terbongkar TH labur dalam Putrajaya Perdana ketika Azeez Rahim jadi pengerusi, rugi RM145.3 juta