Isu Hospital Pasir Gudang: Puad kata Dr Rafidah lebih realistik, Onn Hafiz populis
Datuk Dr Puad Zarkashi menyokong kritikan pakar perubatan Dr Rafidah Abdullah terhadap Menteri Besar Johor, datuk Seri Onn Hafiz Ghazi berhubung isu kekurangan tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang.
Dalam hantaran di Facebook, Puad berkata pandangan Dr Rafidah lebih realistik berbanding respons Onn Hafiz di media sosial yang disifatkannya sebagai populis dan sekadar mencari simpati.
“Pada saya komen Dr Rafidah lebih realistik berbanding komen balas Onn Hafiz di media sosial mengenai isu Hospital Pasir Gudang.
“Respons Onn Hafiz populis dan cari simpati. Ia menuding jari, bukan penyelesaian,” katanya.
Menurut Puad, Onn Hafiz sepatutnya memahami punca sebenar masalah kerana sudah memasuki penggal kedua sebagai menteri besar.
Beliau turut memetik kritikan Dr Rafidah yang mempersoalkan siapa akan mengisi jawatan di hospital baharu jika masalah kekurangan kakitangan kesihatan tidak diselesaikan secara menyeluruh.
“Hospital Kapar nak siap. Hospital di Nilai, PJ nak dibina. Siapa nak kerja? Hantu? ‘Curi’ staf tempat lain? Gali lubang, tutup lubang lagi?” kata Puad, memetik kenyataan Dr Rafidah.
Menurut Puad, soalan itu tidak dijawab Onn Hafiz kerana isu pokok Hospital Pasir Gudang bukan semata-mata bangunan atau kelengkapan, tetapi ketiadaan tenaga kerja mencukupi untuk mengisi kekosongan sedia ada.
Beliau mendakwa Hospital Pasir Gudang mempunyai 2,271 perjawatan, namun hanya 1,079 diisi, manakala 1,192 masih kosong.
“Nak cari mana untuk isi 1,192 jawatan itu? Pokok mana yang nak dipetik?” katanya.
Isu kekurangan kakitangan di Hospital Pasir Gudang bukan perkara baharu. Pada Mei lalu, dilaporkan 59 peratus atau 1,342 daripada 2,271 perjawatan diluluskan di hospital itu masih belum diisi, sekali gus menjadi kekangan utama kepada pengoperasian penuh hospital berkenaan.
Maakala Hospital Pasir Gudang belum dapat beroperasi sepenuhnya susulan lebih 1,300 jawatan petugas kesihatan masih kosong, dengan hanya 929 jawatan diisi ketika itu.
Sebelum ini, dilaporkan Onn Hafiz menggesa tindakan segera berhubung kekurangan kakitangan di hospital Johor, termasuk Hospital Pasir Gudang, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.
CodeBlue pula melaporkan Onn Hafiz menyifatkan kekurangan tenaga kerja kesihatan di Johor sebagai serius, termasuk membabitkan lebih 2,000 jawatan yang masih tidak mencukupi di beberapa hospital utama negeri itu.
Bagaimanapun, bagi Puad, cara Onn Hafiz membangkitkan isu itu melalui media sosial tidak menyelesaikan persoalan lebih besar mengenai sumber tenaga kerja yang semakin kritikal dalam sistem kesihatan awam.
Beliau berkata masalah kekurangan doktor, jururawat dan petugas kesihatan tidak boleh diselesaikan hanya dengan mendesak pembukaan hospital atau menekan Kementerian Kesihatan tanpa melihat realiti bahawa ramai petugas sedia ada sudah terbeban, meletak jawatan atau memilih bekerja di luar negara.
“Sebab itu boleh selesaikah bila Onn Hafiz guna media sosial? Bila terasa kuat kerana menang besar, begitulah jadinya,” sindir Puad.
Kritikan Puad itu menambah tekanan terhadap Onn Hafiz yang sebelum ini lantang membangkitkan isu fasiliti dan kekurangan kakitangan kesihatan di Johor, namun kini dikritik kerana didakwa tidak menawarkan penyelesaian konkrit terhadap punca sebenar krisis tenaga kerja.
BACA JUGA Menteri sahkan lima surat amaran BNM langsung tidak diendah pengurusan TH, kerajaan BN