Hantaran anak Zahid ketika isu RCI Tabung Haji tengah panas jadi tanda tanya

Hantaran Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjadi perhatian ketika polemik Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji terus memuncak.

Menerusi perkongsian di media sosial itu, Nurulhidayah menyentuh tempoh siasatan yang hanya memfokuskan antara tahun 2014 hingga 2017.

Beliau yang juga Exco Wanita Umno turut mengingatkan supaya tidak terlalu seronok bercerita, seolah-olah menggambarkan bakal ada pendedahan besar nanti.

“2014 – 2017 jer? 2018 – 2025? Sabar. Jangan geli-geli sangat bercerita,” tulis Ketua Penerangan Umno Bahagian Bagan Datuk itu.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, perkongsian itu dilihat sebagai satu peringatan kepada pihak yang kini rancak membangkitkan isu berkaitan Tabung Haji (TH), khususnya selepas laporan RCI berkenaan menjadi perhatian.

Kerajaan pada 29 Julai lalu mendedahkan kepada umum laporan RCI TH setebal 211 muka surat, yang meneliti pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020.

Antara penemuan RCI ialah kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dalam pengurusan, pembayaran hibah yang tinggi, risiko pelaburan serta isu perakaunan.

BACA JUGA Pas enggan bahas RCI Tabung Haji sebab tak mahu singgung tokoh BN?