Pas enggan bahas RCI Tabung Haji sebab tak mahu singgung tokoh BN?
Tindakan Pas dan sebahagian blok pembangkang keluar Dewan ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) mengundang persoalan adakah tindakan mereka itu disebabkan tidak mahu menyinggung pemimpin di dalam Barisan Nasional (BN).
Persoalan itu timbul ketika hubungan Pas dan BN dilihat semakin mesra.
Namun bagi pihak yang mengikuti isu ini, kes sebesar Tabung Haji sepatutnya menyaksikan blok pembangkang berada di barisan hadapan untuk menyoal, membongkar dan menuntut pertanggungjawaban, tetapi sebaliknya yang berlaku.
Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How berkata, Pas perlu menjelaskan tindakan mereka itu kerana alasan untuk menangguhkan sidang khas hanya disebabkan ketidakhadiran Perdana Menteri, sama sekali tidak boleh diterima.
“Kalau Ahli-ahli Parlimen BN sendiri cukup berani untuk bangun berbahas, memberi sisi pandang mereka dan mempertahankan pemimpin mereka yang disebut dalam laporan, mengapa Pas dan Wawasan yang kini begitu mesra sebagai “rakan berdamai semula” BN, tidak sanggup berbuat perkara sama?
“Atau sebenarnya mereka takut apabila benang mula ditarik, kain yang lain turut terungkai? Adakah mereka bimbang perbahasan ini akan membuka semula persoalan tidak menyenangkan tentang keputusan ketika pentadbiran BN, sedangkan hubungan Pas-BN kini masih dalam fasa bulan madu?
“Adakah mereka tidak mahu menyinggung tokoh BN yang tindakan, keputusan atau peranan mereka dalam tempoh yang diteliti RCI wajar diperbahaskan? Jangan baling batu sembunyi tangan. Mereka mesti menjawab,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Dapatan RCI menyentuh kegagalan dan salah laku serius dalam tadbir urus, pengurusan kewangan serta pengaruh politik terhadap institusi yang memegang amanah simpanan dan keyakinan jutaan umat Islam Malaysia.
Menurut Howard, apabila Parlimen membincangkan dakwaan salah laku yang melibatkan laporan polis, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta urus niaga rentas sempadan, pembangkang sepatutnya berada di barisan hadapan menuntut pertanggungjawaban.
Mereka sepatutnya menuntut tindakan dan mendesak Kerajaan, polis, SPRM serta Jabatan Peguam Negara memberi jawapan.
Sebaliknya, beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan kelihatan lebih bersungguh bertanyakan soalan-soalan ini berbanding Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan.
“Jangan setiap hari menuduh kerajaan tidak telus, tetapi apabila pintu Parlimen dibuka untuk menuntut pertanggungjawaban, mereka pula yang keluar.
“Jangan mendakwa menjadi pembela Tabung Haji dan kepentingan Melayu-Islam, tetapi menghilang apabila fakta yang dibentangkan menjadi tidak selesa dan tidak menguntungkan politik sendiri,” bidasnya.
BACA JUGA ‘Kalau tak mahu ambil bahagian, jangan hadir Parlimen habiskan duit rakyat’