‘Kalau tak mahu ambil bahagian, jangan hadir Parlimen habiskan duit rakyat’

Kritikan terhadap pembangkang terutama Pas terus memuncak susulan tindakan mereka meninggalkan Dewan ketika sidang khas bagi membahas laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat semalam.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan berkata, alasan untuk menangguhkan sidang sehingga Perdana Menteri sihat dan boleh hadir, adalah tidak munasabah kerana peraturan Dewan membolehkan sidang diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri.

“Sedangkan kamu tahu peraturan Dewan, sidang masih boleh diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri. Semua MP telah menempah penerbangan dan penginapan yang ditanggung oleh Parlimen.

“Sepatutnya kamu tahu sidang tak boleh ditangguh demi melindungi kepentingan pendeposit. Pendeposit perlu diyakinkan dengan pemberitahuan rasmi melalui Parlimen apa yang berlaku kepada Tabung Haji dan pendeposit perlu mengetahui yang tuduhan dan fitnah kamu lemparkan sebelum ini terhadap Tabung Haji.

“Pendeposit perlu diberitahu apa langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan,” tegasnya.

Mahfuz mempersoalkan alasan yang digunakan pembangkang untuk “memboikot” sidang berkenaan, kerana menurut beliau, sidang tersebut hanya melibatkan penerangan menteri dan tiada sebarang keputusan yang dibuat dalam sidang khas tersebut.

Malah katanya, perkara itu telah dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan Parlimen kepada semua Ahli Parlimen.

“Kalau kamu tak mahu ambil bahagian seharusnya dari awal kamu tak hadir ke Parlimen menghabiskan wang rakyat. Bayaran penerbangan, penginapan, elaun mesyuarat dan elaun makan kamu ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa, semua Ahli Parlimen Pas dan Wawasan telah menyalahgunakan peruntukan wang perbelanjaan untuk menghadiri sidang Parlimen dengan meninggalkan Dewan mesyuarat tanpa alasan yang munasabah.

“Kamu semua menyalahgunakan wang rakyat. Jangan biarkan rakyat menanggung kos untuk wakil rakyat yang memilih untuk tidak menjalankan tugas yang tersedia di hadapan mereka.

“Di luar Dewan mereka paling lantang bercakap tentang Tabung Haji. Di dalam Dewan, apabila Tabung Haji dibincangkan, mereka pula yang meninggalkan gelanggang. Datang meminta jawapan, tetapi keluar ketika jawapan hendak diberikan,” sindir beliau.

BACA JUGA Sidang khas bahas RCI TH kecoh, pembangkang ‘boikot’ keluar Dewan