RENCANA | Bukan sorok, PMX lindungi pendeposit: Risiko pengeluaran deposit jadi pertimbangan dedah RCI
Oleh Jamzuri Ardani
PMX memberi alasan kenapa laporan RCI Tabung Haji disimpan selama tiga tahun. Katanya, ada kebimbangan akan berlaku bank run terhadap Tabung Haji dalam tempoh tersebut.
Bank run berlaku apabila pendeposit hilang keyakinan terhadap sesebuah institusi lalu mengeluarkan deposit mereka secara besar-besaran. Jika berlaku kepada Tabung Haji, ia boleh memberi kesan yang sangat serius terhadap institusi itu.
Saya mulanya agak skeptik dengan alasan ini.
Ditakdirkan saya dapat berjumpa secara peribadi dengan seseorang yang mempunyai maklumat secara langsung mengenai perkara tersebut. Saya tanya terus kepada beliau:
“Adakah risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran benar-benar wujud sekiranya laporan itu didedahkan lebih awal?”
Jawapan beliau:
“Itulah kenyataannya.”
Menurut beliau, pengeluaran deposit Tabung Haji memang pernah berlaku dalam jumlah yang sangat besar apabila keyakinan pendeposit terjejas pada 2018. Jika perkara sama berlaku lagi, ia boleh meruntuhkan institusi tersebut.
Malah, katanya, kerajaan PH 1.0 dahulu juga pernah bercadang menubuhkan RCI tetapi dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian atas kebimbangan yang sama.
Keutamaan ketika itu ialah menyelamatkan Tabung Haji dan mengembalikan keyakinan pendeposit.
Ini bagi saya menunjukkan bahawa PH ketika itu lebih mengutamakan kepentingan negara dan rakyat berbanding kepentingan politik partisan.
Kerajaan PN pula yang menubuhkan RCI untuk menyiasat tadbir urus kewangan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu siap pada Julai 2022 dan diserahkan kepada kerajaan pada Ogos 2022.
Ketika itu PN masih menjadi kerajaan. Ismail Sabri adalah Perdana Menteri dan Idris Ahmad ialah Menteri Agama.
Saya percaya kerajaan ketika itu juga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan laporan tersebut kepada umum atas kebimbangan berlaku bank run terhadap Tabung Haji.
Sebab itu laporan tersebut diletakkan di bawah OSA.
Apabila laporan itu akhirnya didedahkan selepas lebih tiga tahun, orang ramai tentu mahu melihat sama ada Tabung Haji masih boleh diyakini untuk memegang amanah wang simpanan umat Islam.
SPRM dan polis pula bertindak pantas membuka siasatan. Mereka yang curang perlu dihukum. Tetapi itu sahaja tidak cukup. Kita perlu memastikan punca yang membolehkan kecurangan itu berlaku ditutup dengan rapi.
Antaranya ialah meminda Akta Tabung Haji, malah bukan sahaja Tabung Haji. Kita juga perlu melihat bagaimana institusi tabungan rakyat seperti KWAP, LTAT, KWSP, ASNB dan seumpamanya dikawal selia dengan lebih ketat dari sudut perundangan dan tadbir urus.
Inilah tugas Parlimen. Inilah tanggungjawab ahli-ahli Parlimen. Bukan lari daripada tanggungjawab atas alasan remeh.
BACA JUGA Titah Agong mahu RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi, kenapa pula keluar Dewan?