Bukan negara luar tolak pasport Malaysia, rupanya sistem airline bermasalah
Hanya dua syarikat penerbangan setakat ini dilaporkan mengalami masalah sistem ketika memproses Pasport Antarabangsa Malaysia yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata isu tersebut bukan berpunca daripada negara luar yang enggan menerima pasport Malaysia, sebaliknya melibatkan sistem yang digunakan oleh syarikat penerbangan tertentu.
“Setakat ini, maklum balas yang kita terima hanya dua syarikat penerbangan mengalami masalah. Tetapi saya tidak pasti jika ada yang lain kerana kita belum menerima maklumat mengenainya,” katanya pada sidang media, Khamis.
Zakaria menegaskan Jabatan Imigresen tidak menyalahkan syarikat penerbangan berkenaan kerana sistem tersebut digunakan secara global.
Katanya, syarikat penerbangan lain tidak berdepan masalah untuk memproses Pasport Antarabangsa Malaysia yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Menurut beliau, tempoh sah laku 10 tahun bagi Pasport Antarabangsa Malaysia masih diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
Apa yang digantung sementara, jelasnya, hanyalah tambahan tempoh sah laku yang menyebabkan pasport melebihi 10 tahun.
“Yang kita gantung ialah tempoh tambahan yang melebihi 10 tahun,” katanya.
Sebelum ini, pemohon yang memperbaharui pasport ketika pasport lama masih mempunyai baki sah laku lebih enam bulan diberikan tambahan tempoh sehingga enam bulan.
Zakaria berkata langkah itu dibuat bagi mengelakkan rakyat Malaysia yang masih mempunyai baki tempoh sah laku panjang pada pasport lama mengalami kerugian apabila memperbaharui pasport.
“Dulu kita mengambil kira baki tempoh sah laku pasport lama sebelum ia diganti.
“Jadi, untuk tidak merugikan rakyat Malaysia yang masih mempunyai baki tempoh yang agak panjang, kita beri tambahan enam bulan,” katanya.
Bagaimanapun, susulan masalah sistem membabitkan syarikat penerbangan tertentu, tambahan tempoh sah laku melebihi 10 tahun digantung sementara sehingga isu itu diselesaikan.
Jabatan Imigresen turut menawarkan penggantian pasport secara percuma kepada pemegang pasport yang sudah dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.
Pada Rabu, Jabatan Imigresen memaklumkan penggantungan tempoh sah laku Pasport Antarabangsa Malaysia yang melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta.
Menurut jabatan itu, langkah sementara tersebut akan berkuat kuasa sehingga isu berkenaan diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Perkembangan itu sekali gus menjelaskan bahawa isu tersebut bukan berkaitan sekatan perjalanan atau penolakan pasport Malaysia oleh negara asing, tetapi masalah teknikal pemprosesan di peringkat sistem penerbangan.
Bagi pemegang pasport, mesej utama Imigresen jelas: pasport 10 tahun masih sah seperti biasa, cuma tambahan tempoh melebihi 10 tahun dihentikan sementara
BACA JUGA “Jangan tengok RM100,000 sahaja”- Mujahid jelaskan kenapa TH lepaskan Abraj