“Jangan tengok RM100,000 sahaja”- Mujahid jelaskan kenapa TH lepaskan Abraj
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan keputusan Tabung Haji (TH) melepaskan pegangan sahamnya dalam Abraj Sdn Bhd pada 2020 dibuat bagi mengelakkan institusi itu terus menanggung risiko kewangan yang lebih besar.
Mujahid berkata, angka RM100,000 yang sering dikaitkan dengan nilai penjualan saham TH dalam Abraj tidak wajar dilihat secara berasingan kerana transaksi berkenaan turut menyaksikan Amanah Raya Berhad (ARB) mengambil alih bebanan hutang TH dalam syarikat tersebut yang berjumlah kira-kira RM192 juta.
Menurutnya, Abraj yang dimiliki 50 peratus oleh TH dan 50 peratus oleh ARB merupakan antara 14 pelaburan bermasalah yang disebut dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Mujahid berkata, pada 20 Februari 2020 beliau menandatangani surat persetujuan untuk menjual pegangan saham TH selepas pihak pengurusan membuat keputusan supaya institusi itu tidak terus terdedah kepada risiko yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit.
“Adalah tidak adil sekiranya hanya angka RM100,000 dipetik untuk menggambarkan keseluruhan transaksi tanpa menjelaskan bahawa pembeli turut mengambil alih bebanan hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid berkata, perbandingan antara harga jualan saham RM100,000 dengan nilai hartanah Abraj yang pernah dianggarkan sekitar RM300 juta juga tidak tepat kerana kedua-dua angka itu merujuk kepada keadaan pada tempoh yang berbeza.
Katanya, penilaian hartanah berkenaan dibuat pada 2016, manakala Abraj mula berdepan masalah sejak tahun tersebut sebelum bebanan hutangnya meningkat kepada kira-kira RM192 juta menjelang 2019.
Keadaan itu, katanya, menjadi semakin serius selepas rosot nilai sekitar RM40 juta direkodkan pada 2019.
Beliau berkata bank juga telah mengeluarkan notis pelanggaran dan amaran berkaitan hutang antara Ogos hingga Oktober tahun sama.
TH ketika itu sudah berdepan defisit RM10 bilion
Mujahid berkata keputusan tersebut perlu dilihat berdasarkan kedudukan kewangan TH ketika itu, termasuk defisit kira-kira RM10 bilion yang dikenal pasti pada penghujung 2018.
Menurutnya, dalam keadaan TH sedang melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula, bebanan hutang Abraj berjumlah RM192 juta berisiko menambahkan tekanan kewangan terhadap institusi berkenaan.
“Justeru, keputusan melepaskan pegangan saham TH dalam Abraj, dengan bebanan hutang RM192 juta diambil alih oleh pembeli, merupakan keputusan yang dianggap terbaik berdasarkan keadaan kewangan TH ketika itu,” katanya.
Mujahid berkata keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga kepentingan pendeposit dan mengelakkan TH mengalami tekanan kewangan yang lebih serius.
Beliau turut menegaskan persetujuannya terhadap transaksi berkenaan dibuat berdasarkan mandat kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji.
Dalam pada itu, Mujahid berkata beliau bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sebarang siasatan berkaitan transaksi Abraj.
Katanya, beliau juga bersedia mempertahankan keputusan yang dibuat ketika itu berdasarkan keadaan kewangan dan risiko yang dihadapi TH.
“Keputusan tersebut perlu dinilai berdasarkan keseluruhan keadaan kewangan dan risiko yang dihadapi TH pada waktu berkenaan, khususnya usaha memulihkan institusi serta memelihara kepentingan sekitar sembilan juta pendeposit Tabung Haji,” katanya.
Penjelasan Mujahid itu hadir susulan Abraj disenaraikan antara pelaburan bermasalah yang mendapat perhatian dalam Laporan RCI Tabung Haji.
Beliau menegaskan keputusan pelupusan tersebut tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan harga saham RM100,000, sebaliknya perlu mengambil kira liabiliti yang turut diambil alih, kedudukan kewangan TH ketika itu serta risiko jika pegangan tersebut terus dikekalkan.
BACA JUGA Sidang media terakhir sebelum DAP keluar kerajaan? Anthony Loke: “Saya tak pernah kata begitu”