Fadillah selamat dibedah, keluarga zahir penghargaan buat IJN dan rakyat Malaysia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.

Perkembangan itu dimaklumkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Facebook malam ini.

“Alhamdulillah, Fadillah selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada Rabu lalu bersamaan 12 Ogos 2026.

“Beliau sekeluarga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional mereka sepanjang proses rawatan.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak kementerian, masjid-masjid, surau-surau, rumah ibadat, agensi kerajaan/swasta, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sanak-saudara, sahabat handai serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau,” menurut kenyataan berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengumumkan Fadillah, 64, bakal menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN.

Seterusnya, pada 8 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Ahli Parlimen Petra Jaya berkenaan di IJN.

BACA JUGA Kaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji, Asyraf Wajdi mula buru pemilik akaun dengan saman RM5 juta