Jangan ikut Trump!  Amirudin beri amaran politik kanan ekstrem mula ‘racun’ masyarakat

Selangor tidak boleh dibiarkan terheret ke dalam politik sempit berasaskan kaum dan sentimen far-right (politik kanan ekstrem dan fasis) yang menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berisiko merosakkan hubungan antara masyarakat.

Amirudin berkata politik yang sengaja memainkan sentimen perkauman hanya akan mewujudkan rasa curiga antara komuniti sebelum akhirnya menyebabkan masyarakat memilih untuk hidup secara berasingan.

Ketika menggulung perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau menegaskan semua kaum perlu diberikan ruang untuk membina identiti bersama sebagai rakyat Selangor.

“Kita mahu anak-anak Selangor sama ada anak orang Melayu, orang India mahupun orang Cina dapat duduk bersama-sama, belajar bersama-sama, beriadah bersama-sama.

“Bersukan bersama-sama, bekerja bersama-sama untuk membangunkan masa depan negeri ini,” katanya.

Amirudin turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan budaya far-right dan fasis yang semakin mendapat tempat di beberapa negara luar.

Tanpa mengabaikan perbezaan politik, katanya, budaya sedemikian tidak akan membantu membina masyarakat yang bersatu, sebaliknya berpotensi meruntuhkan hubungan antara kaum dan komuniti.

Beliau memberi contoh politik yang dibawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai antara perkembangan yang perlu diperhatikan agar budaya pemecah-belah sedemikian tidak berakar di Selangor.

“Budaya itu tidak mampu membina masyarakat sebaliknya berpotensi meruntuhkan hubungan antara kaum dan komuniti,” katanya.

Dalam masa sama, Amirudin memberi amaran kepada semua parti politik supaya tidak sengaja memainkan isu kaum hanya untuk mengukuhkan sokongan kelompok masing-masing.

Katanya, politik sedemikian tidak sepatutnya berlaku sama ada melibatkan pengundi Melayu, Cina mahupun India.

“Semua pihak tidak harus menebalkan politik perkauman dan membakar base vote masing-masing, baik orang Melayu, orang Cina, mahupun orang India,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat perbezaan antara komitmen yang dinyatakan oleh pemimpin di dalam Dewan Negeri dengan tindakan politik mereka di luar.

Menurutnya, prinsip perpaduan yang dilaungkan dalam dewan tidak bermakna sekiranya pada masa sama sentimen perkauman dibiarkan dimainkan di akar umbi.

“Jangan kita memberikan komitmen tersebut di dalam dewan yang mulia ini tetapi membiarkan semangat yang membakar sentimen bergerak di bawah secara senyap,” katanya.

Amirudin berkata pemimpin politik perlu mempunyai political will(keazaman politik) dan iltizam untuk memastikan politik sempit tidak menjadi budaya di Selangor.

Beliau juga menyeru pemimpin supaya tidak sekadar mengejar populariti dengan memainkan sentimen kaum.

“Sebaliknya, kita harus mempunyai political will, iltizam, semangat untuk berpegang bahawa tiada tempat untuk politik sempit di Selangor yang kita cintai ini,” katanya.

Menurut Amirudin, masa depan Selangor perlu dibina atas kerjasama semua komuniti dan bukannya melalui strategi politik yang memecah-belahkan masyarakat demi mendapatkan sokongan jangka pendek.

BACA JUGA “Jangan tengok RM100,000 sahaja”- Mujahid jelaskan kenapa TH lepaskan Abraj