“Pas tak percaya RCI sendiri?”- Puad persoal cadangan tubuh RCI TH 2.0

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menolak cadangan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji ditubuhkan sekali lagi, sambil menyifatkannya sebagai langkah yang tidak perlu.

Puad berkata pembangkang sepatutnya memberi tumpuan kepada siasatan yang sedang berjalan dan tidak menjadikan isu RCI Tabung Haji sebagai permainan politik.

“Perlukah RCI Tabung Haji 2.0? Tidak perlu. Pembangkang jangan buang masa,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau berkata RCI Tabung Haji sebelum ini telah ditubuhkan ketika pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan Pas turut terlibat dalam kerajaan.

Malah, katanya, RCI berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum.

“Mustahil Pas tidak percaya kepada RCI yang parti itu terlibat menubuhkannya. Lagi pun ia dipengerusikan oleh Tun Raus Sharif, bekas Ketua Hakim Negara,” katanya.

Puad turut menyindir pendirian parti pembangkang yang berbeza dalam isu kehadiran di Dewan Rakyat ketika pembentangan laporan RCI Tabung Haji.

Menurutnya, Bersatu mendakwa mereka merupakan pembangkang yang bertanggungjawab kerana memilih untuk kekal dalam Dewan Rakyat, sedangkan Pas dan Wawasan didakwa mengambil pendirian berbeza.

“Parti Bersatu mendakwa mereka pembangkang bertanggungjawab sebab itu tidak keluar tinggalkan dewan.

“Maknanya Pas dan Wawasan pembangkang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Puad berpandangan tindakan lebih wajar ialah menyokong titah Yang di-Pertuan Agong supaya agensi penguat kuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

“Lebih baik sokong titah YDP Agong agar SPRM dan PDRM siasat sampai ke lubang cacing.

“Jangan ikut cakap Pas yang buang masa kerana main politik,” katanya.

Kenyataan Puad itu dibuat ketika polemik mengenai dapatan RCI Tabung Haji terus menjadi bahan perbahasan politik, termasuk persoalan sama ada siasatan baharu diperlukan terhadap perkara yang belum terjawab.

Beliau sebelum ini turut mengkritik pendekatan pembangkang berhubung pengendalian isu laporan RCI berkenaan.

BACA JUGA Bukan negara luar tolak pasport Malaysia, rupanya sistem airline bermasalah