Terkejut gambar terpampang isu saman RM5 juta, Nazri tampil perjelas video

Pencipta kandungan dan pengulas isu semasa, Nazri Hamdan tampil memberi penjelasan selepas gambarnya turut dipaparkan dalam hantaran Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan tindakan saman fitnah RM5 juta terhadap beberapa pemilik akaun media sosial.

Nazri mengakui terkejut apabila mendapati gambarnya berada dalam hantaran berkenaan, sambil menegaskan video asal yang dimuat naik olehnya pada 12 Ogos lalu tidak pernah mengaitkan mana-mana individu.

“Agak terkejut juga saya bila gambar saya ada dalam posting Dr Asyraf Wajdi.

“Untuk pengetahuan semua, video asal ni saya post pada 12/8/2026 di TikTok dan dalam video tu tidak ada saya kaitkan nama mana-mana individu,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Menurut Nazri, isu berkenaan dipercayainya timbul selepas video asal itu disunting dan dimuat naik semula oleh sebuah akaun dikenali sebagai ohmalaysiamedia tanpa kebenarannya.

Beliau mendakwa suntingan berkenaan kemudiannya mengaitkan kandungan videonya dengan Asyraf Wajdi, sedangkan perkara itu tidak terdapat dalam video asal.

“Apa yang berlaku ialah ada video saya telah disunting tanpa kebenaran saya dan dipost oleh akaun ohmalaysiamedia dan sengaja kaitkan dengan Dr Asyraf.

“Saya harap admin pihak ohmalaysiamedia dapat bertanggungjawab dan turunkan video ni,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menyunting atau menggunakan kandungannya tanpa kebenaran, lebih-lebih lagi dengan mengaitkannya dengan individu tertentu.

“Jika nak gunakan video saya pun jangan sunting tanpa kebenaran dan kaitkan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai menyemak sendiri kandungan yang pernah dimuat naik di semua platform media sosialnya bagi memastikan konteks sebenar kenyataannya.

“Saya juga jemput semua rakan-rakan semak video-video saya di semua platform media sosial saya dan tak ada satu pun saya cerita pasal mana-mana individu,” katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi imej tiga pencipta kandungan, termasuk Nazri, ketika memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnahnya.

BACA JUGA Kaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji, Asyraf Wajdi mula buru pemilik akaun dengan saman RM5 juta