5.3 juta terima STR Fasa 3, ada dapat hingga RM600
Sebanyak 5.3 juta penerima mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 secara berperingkat mulai hari ini, dengan kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayaran berkenaan.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata jumlah penerima kali ini meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding lima juta penerima pada awal tahun.
Daripada jumlah itu, 3.9 juta penerima terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas yang tidak mempunyai pasangan.
“Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600 bergantung kepada pendapatan serta bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150,” menurut MoF dalam kenyataan.
Dengan pembayaran Fasa 3 itu, jumlah STR yang telah disalurkan bagi ketiga-tiga fasa sepanjang 2026 kini mencecah RM3.6 bilion.
Menurut MoF, jumlah bantuan yang diterima setiap individu bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
Bagi penerima yang layak, jumlah bantuan terkumpul melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan boleh mencecah RM3,300 setakat Ogos 2026.
Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk bantuan SARA secara sekali beri yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat secara berperingkat, mengikut kategori dan kelayakan penerima.
BACA JUGA Sultan Terengganu selamat jalani rawatan, kini berehat