AUKU dimansuh, AMK mahu universiti kembali jadi medan reformasi
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) sebagai kemenangan penting buat gerakan mahasiswa yang sejak puluhan tahun memperjuangkan kampus lebih bebas dan demokratik.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keputusan kerajaan itu bukan sekadar perubahan pentadbiran, sebaliknya membuka ruang untuk mengembalikan universiti sebagai medan percambahan ilmu, keberanian intelektual dan perbahasan terbuka.
Beliau berkata AMK menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan AUKU serta memberi ruang lebih luas kepada gerakan mahasiswa.
“Pengumuman ini bukan sekadar satu keputusan pentadbiran. Ia merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kamil, sejarah gerakan mahasiswa negara tidak pernah terpisah daripada perubahan masyarakat, termasuk penglibatan mahasiswa mengangkat isu kemiskinan, ketidakadilan sosial dan nasib rakyat marhaen sejak penghujung 1960-an dan awal 1970-an.
Katanya, mahasiswa tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penghuni dewan kuliah kerana mereka turut mempunyai peranan sebagai sebahagian daripada “hati nurani masyarakat”.
Namun, beliau berkata ruang mahasiswa kemudiannya semakin terbatas melalui AUKU dan pelbagai sekatan terhadap kegiatan serta penglibatan mereka dalam wacana awam.
“Generasi demi generasi aktivis mahasiswa selepas itu terus membawa tuntutan yang sama, bebaskan mahasiswa, demokratikkan kampus dan kembalikan universiti sebagai medan percambahan ilmu serta keberanian intelektual,” katanya.
Kamil berkata langkah pemansuhan AUKU perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang perjuangan berkenaan kerana ia mengiktiraf mahasiswa sebagai golongan yang mampu berfikir, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan universiti tidak bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab.
Sebaliknya, beliau berkata universiti yang matang perlu mampu mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog tanpa budaya takut atau kawalan berlebihan.
“Kampus tidak seharusnya melahirkan generasi yang sekadar menurut, tetapi generasi yang berani bertanya, mencabar kebiasaan dan mempertahankan kebenaran dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, AMK mahu pemansuhan AUKU menjadi permulaan kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan dan kebebasan bersuara.
Kamil turut menyeru mahasiswa dan anak muda supaya melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan kepada perubahan sebenar.
Menurutnya, reformasi tidak berakhir dengan satu pengumuman atau pemansuhan satu akta.
“Masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan, dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa supaya terus memainkan peranan sebagai kuasa semak dan imbang kepada negara.
“Kepada mahasiswa Malaysia, jangan berhenti bersuara. Jangan berhenti berfikir. Jangan berhenti menjadi kuasa semak dan imbang kepada negara.
“Hidup Mahasiswa. Hidup Reformasi. Panjang umur perjuangan,” katanya.
BACA JUGA RENCANA | Al-Rawda : Niat yang baik tidak memadam kegagalan tadbir urus