RENCANA | Al-Rawda : Niat yang baik tidak memadam kegagalan tadbir urus
Oleh Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Mula digerakkan naratif yang cuba mempertahankan urus niaga Al-Rawda dengan memberikan tiga gambaran: tujuan asalnya baik untuk jemaah haji, pemilik syarikat tersebut ialah tokoh korporat yang berpengaruh, dan hubungan Malaysia-Arab Saudi ketika itu sangat erat.
Namun, tidak satu pun daripadanya menjawab persoalan utama: adakah wang pendeposit Tabung Haji dilindungi dengan sewajarnya dalam urus niaga bernilai lebih RM1.5 bilion ini?
Kita perlu membezakan antara matlamat sesuatu urus niaga dengan kaedah urus niaga itu dilaksanakan.
Tujuan mendapatkan hotel yang strategik, menjamin ketersediaan bilik dan mengawal kos penginapan jemaah dalam jangka panjang sememangnya munasabah. Laporan RCI sendiri menyatakan empat hotel berkenaan dipajak untuk kegunaan jemaah haji dan umrah. Jelas..
Tetapi… tujuan yang baik tidak secara automatik menjadikan mekanismenya baik.
Antara 2015 hingga 2017, TH memeterai perjanjian pajakan dan subpajakan bagi empat hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh antara 10 hingga 18 tahun.
Sebanyak SAR1.426 bilion dibayar kepada Al-Rawda. Pada masa yang sama, Al-Rawda dilantik sebagai pengendali hotel dan dijadualkan membayar pendapatan sewaan berjumlah SAR2.49 bilion kepada TH sepanjang tempoh kontrak.
Penjelasan Menteri Kewangan II di Parlimen, Jabatan Pengurusan Risiko TH telah meminta supaya Al-Rawda menyediakan jaminan bank.
Namun, aminan tersebut tidak disediakan dan laporan usaha wajar juga belum lengkap dan urus niaga tetap diteruskan dengan hanya bersandarkan Nota Janji yang dijamin secara peribadi oleh pemilik Al-Rawda.
Jaminan peribadi daripada seorang tokoh korporat tidak sama dengan jaminan bank atau cagaran yang mempunyai nilai jelas dan mudah dicairkan.
Sekalipun benar pemiliknya terlibat dalam pembangunan besar di Makkah, reputasi seseorang bukan pengganti kepada perlindungan kewangan.
Begitu juga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi. Al-Rawda ialah pihak korporat dalam sebuah kontrak komersial. Hubungan diplomatik antara dua negara bukan jaminan bahawa setiap syarikat swasta akan memenuhi obligasi kewangannya.
Sebab itulah jaminan bank, cagaran dan usaha wajar diwajibkan sejak awal, bukan hanya selepas berlakunya kegagalan.
Kronologinya juga perlu diperjelaskan
Laporan RCI menyatakan Al-Rawda mula gagal membayar pendapatan sewaan sejak Mac 2019. Pandemik COVID-19 dan penutupan perjalanan pula berlaku selepas itu. Maka, COVID mungkin telah memburukkan operasi hotel dan keupayaan pemulihan, tetapi ia tidak boleh dijadikan punca kepada kemungkiran yang telah bermula lebih awal.
Mengaitkan kegagalan bayaran dengan pertukaran kerajaan juga hanyalah suatu insinuasi politik selagi tiada bukti hubungan sebab-akibat dikemukakan. Dalam penulisan akademik, urutan dua peristiwa tidak membuktikan bahawa peristiwa pertama menyebabkan peristiwa kedua.
Dakwaan bahawa pengurusan TH terus mengambil “jalan singkat” dengan menyaman Al-Rawda tanpa berunding juga tidak selari dengan rekod RCI.
Selepas kemungkiran berlaku, TH menguatkuasakan Nota Janji melalui mahkamah Arab Saudi. Perintah penguatkuasaan diperoleh, aset pemilik Al-Rawda dibekukan dan sekatan perjalanan turut dikenakan. Dalam masa yang sama, TH terus mengadakan rundingan penyelesaian.
Malah, prosiding timbang tara telah dimulakan oleh Al-Rawda, yang mendakwa perjanjian berkenaan bertentangan dengan syariah dakwaan yang dinafikan oleh TH. Keputusan akhir timbang tara pada April 2023 memihak kepada TH dan Al-Rawda diperintahkan membayar SAR899 juta.
TH kemudian sekali lagi memeterai Perjanjian Penyelesaian pada November 2024. Namun, Al-Rawda hanya membayar SAR14.9 juta sebelum memungkiri perjanjian tersebut. TH kini masih meneruskan usaha mengesan aset bagi mendapatkan baki tuntutan.
Ini membuktikan bahawa rundingan telah dilakukan. Tindakan undang-undang pula bukan bukti permusuhan dengan Arab Saudi. Ia merupakan tanggungjawab fidusiari TH untuk melindungi dan mendapatkan semula wang pendeposit.
Benar, rosot nilai tidak sama sepenuhnya dengan kerugian tunai yang muktamad. Hak tuntutan TH masih wujud dan sebarang pemulihan pada masa hadapan tetap boleh direkodkan.
Namun, rosot nilai penuh juga bukan sekadar “angka atas kertas” yang boleh dipandang ringan. Penyata kewangan beraudit menunjukkan TH telah mengiktiraf jangkaan kerugian kredit terkumpul kira-kira RM1.86 bilion sehingga 2024.
Pengiktirafan ini dibuat setelah mengambil kira kemampuan kewangan pihak berhutang, keputusan timbang tara dan kegagalan Perjanjian Penyelesaian.
Dalam bahasa mudah: tuntutan masih ada, tetapi kebarangkalian untuk mendapatkan keseluruhan wang itu dinilai sebagai amat rendah.
Naratif bahawa kehilangan perjanjian Al-Rawda menjadi punca utama kenaikan kos haji hari ini juga mengelirukn. Faktor rasmi yang dikenal pasti termasuk VAT Arab Saudi yang meningkat daripada 5 kepada 15 peratus, inflasi, kadar pertukaran mata wang, caj perkhidmatan baharu dan pembangunan semula di Makkah serta Madinah yang menekan bekalan penginapan.
Justeru, isu Al-Rawda bukan soal sama ada niat menyediakan hotel kepada jemaah itu baik atau tidak. Isunya ialah:
Mengapa bayaran pendahuluan sebesar SAR1.426 bilion diteruskan tanpa jaminan bank?
Mengapa urus niaga diteruskan sedangkan usaha wajar belum lengkap?
Siapakah yang meluluskan tahap pendedahan risiko sebesar itu?
Mengapa syor Jabatan Pengurusan Risiko tidak dipatuhi?
Tidak perlu kita mendahului siasatan dengan melabel sesiapa sebagai penipu. Namun, kita juga tidak boleh menggunakan niat baik, reputasi korporat atau hubungan diplomatik untuk menutup kegagalan tadbir urus yang telah membawa kepada rosot nilai RM1.86 bilion.
Mempertahankan Tabung Haji bukan bermaksud mempertahankan setiap keputusan lama yang dibuat atas namanya.
Mempertahankan Tabung Haji bermaksud berani menuntut pertanggungjawaban, memperbaiki kelemahan dan memastikan wang umat Islam tidak lagi dipertaruhkan tanpa perlindungan yang setimpal.
*** Penulis adalah Ketua Penerangan PKR Pahang
BACA JUGA Kaitkan dirinya dengan isu Tabung Haji, Asyraf Wajdi mula buru pemilik akaun dengan saman RM5 juta