Guna panji PKR lawan kesombongan musuh politik

Akar umbi PKR mahu parti itu berhenti terlalu lama menimbang soal hubungan politik dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya membuat keputusan yang jelas mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya akan datang.

Wakil Selangor, Danish Hairudin, berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan parti perlu membuat keputusan politik yang dapat memberikan keyakinan kepada anggota di peringkat akar umbi.

Menurutnya, PKR tidak seharusnya terlalu mengambil kira kepentingan atau menjaga hati pihak lain sehingga mengabaikan perasaan serta aspirasi keluarga parti sendiri.

“Maka biarlah Kongres Nasional Keadilan 2026 menghantar satu mesej yang jelas, kepada yang setia kita hargai, kepada yang berkawan kita hormati, kepada yang menyerang, kita lawan.

“Kita akan lawan seperti mana kita lawan dalam tempoh 20 tahun lalu,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC, hari ini.

Danish berkata, sudah tiba masanya PKR kembali mengangkat kekuatan dan identitinya sendiri dalam menghadapi pilihan raya.

Katanya, pendekatan itu boleh dimulakan di Melaka yang dijangka berdepan PRN tidak lama lagi.

Menurutnya, penggunaan panji PKR bukan sekadar soal simbol parti, sebaliknya mencerminkan semangat perjuangan serta identiti politik yang dibawa parti sejak penubuhannya.

“Panji Keadilan inilah yang pernah membawa suara majoriti rakyat Malaysia sehingga menumbangkan keangkuhan dan kesombongan Umno-BN buat kali pertama pada 2018 di peringkat Persekutuan.

“Sudah tiba masanya kita kembali menggunakan kekuatan dan identiti Keadilan untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Gesaan itu mencerminkan suara sebahagian akar umbi yang mahu PKR mempunyai pendirian politik lebih tegas, khususnya dalam menentukan bentuk kerjasama yang akan dibawa parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Bagi mereka, keputusan yang jelas bukan sahaja penting untuk mengukuhkan semangat anggota parti, malah dapat memastikan PKR tidak dilihat terlalu bergantung kepada percaturan politik pihak lain.

BACA JUGA AUKU dimansuh, AMK mahu universiti kembali jadi medan reformasi