Helikopter Ukraine terbakar di Subang, empat krew sempat selamatkan diri
Sebuah helikopter jenis Kamov KA-32 terbakar ketika hendak berlepas dari Lapangan Terbang Subang, tengah hari tadi, ketika menjalani ujian enjin selepas selesai kerja pembaikan.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari, dengan helikopter berkenaan dilaporkan terbakar sepenuhnya.
Empat lelaki warga Ukraine yang berada dalam helikopter itu, terdiri daripada juruterbang, kru dan pembantu juruterbang, bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Dalam kejadian sama, seorang individu yang berada di luar pesawat dilaporkan cedera selepas terkena serpihan.
Operasi pemadaman kemudian digerakkan oleh Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi.
Helikopter berkenaan dilaporkan mempunyai nombor pendaftaran Ukraine dan sedang menjalani pengujian enjin selepas kerja-kerja pembaikan sebelum kejadian berlaku.
BACA JUGA PMX tanya, nak tengok F1? Tiket MADANI RM200 untuk pemegang MyKadÂ