PMX tanya, nak tengok F1? Tiket MADANI RM200 untuk pemegang MyKad
Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi Tiket MADANI serendah RM200 khusus untuk pemegang MyKad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu dipersetujui kerajaan bersama pihak Bahrain bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati pengalaman menyaksikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Menurut Anwar, kerajaan sebelum ini sudah memaklumkan sedang mempertimbangkan penawaran tiket khas berkenaan.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, Kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu diharap membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan Formula 1 dari dekat.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya.
Anwar berkata butiran lanjut mengenai penjualan Tiket MADANI itu akan diumumkan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang dalam masa terdekat.
Pengumuman tersebut dijangka menarik perhatian peminat sukan permotoran tempatan, khususnya mereka yang sebelum ini mungkin terhalang untuk hadir ke litar berikutan kos tiket.
Dengan harga bermula RM200 untuk akses tiga hari, inisiatif berkenaan dilihat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menjadi sebahagian daripada acara permotoran bertaraf antarabangsa itu.
BACA JUGA Anwar tepis persepsi beliau gaduh dengan Zahid, “Dia(KJ) jalur gaduh, saya jalur damai”