Majlis Ulama Malaysia adakan persidangan khas esok, Hifz al-Mal kupas RCI Tabung Haji
Majlis Ulama Malaysia (MUM) akan menganjurkan Persidangan Khas Ulama dan Agamawan bertemakan “Hifz al-Mal” (Hifz al-Mal) yang antara pengisian utamanya membincangkan isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Persidangan yang dijadual berlangsung pada Ahad, 16 Ogos, di De Palma Hotel, Ampang, itu menampilkan barisan agamawan, profesional dan penganalisis ekonomi bagi membincangkan aspek pengurusan serta perlindungan harta umat Islam.
Program bermula dengan ucaptama oleh Mursyid al-‘Am Majlis Ulama Malaysia, Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman, sebelum diteruskan dengan dua sesi berkaitan RCI Tabung Haji.
Sesi pertama bertajuk “Merungkai RCI Tabung Haji” akan dikendalikan Tuan Haji Jamzuri Ardani sebagai moderator.
Panel yang dijadual menyertai sesi itu ialah Tuan Haji Taqiuddin Amini Abdul Sattar, seorang akauntan bertauliah; Wan Syukri Wan Mustapha, juga akauntan bertauliah; Ustaz Zolkarnain Abidin serta Saudara Ahmad Faizuddin bin Razali (Faiz Ahmad) yang merupakan pempengaruh dan pengulas ekonomi.
Menurut tentatif program, sesi pertama dijadual berlangsung dari 10.15 hingga 11.45 pagi.
Ia kemudian disusuli sesi kedua bertajuk “RCI Tabung Haji – Kebangkitan Ummah & Ulama”, yang akan membincangkan isu sama daripada perspektif kebangkitan masyarakat dan peranan ulama.
Sesi kedua dikendalikan Encik Hasnul ZulkarnainAbd Munaim sebagai moderator, dengan panel terdiri daripada Ustaz Zuliadin Abdullah, Baba Zulkarnain Harun, Hj Aziz Abas serta Noorazmir Zakaria, seorang pengamal undang-undang.
Program berkenaan dijadual berakhir dengan majlis penutup pada jam 1 tengah hari, termasuk pembentangan resolusi oleh Ustaz Zolkarnain Abidin.
Majlis perasmian pula akan disempurnakan Tuan Haji Hisyamuddin Ghazali, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Penganjuran persidangan bertemakan Hifz al-Mal dilihat memberi penekanan terhadap prinsip pemeliharaan harta, khususnya dalam konteks pengurusan institusi kewangan dan kepentingan umat Islam.
Dengan RCI Tabung Haji menjadi antara fokus utama, persidangan itu dijangka menjadi ruang untuk ulama, agamawan dan golongan profesional mengupas dapatan serta isu berkaitan Tabung Haji daripada sudut agama, ekonomi dan perundangan.
BACA JUGA Guna panji PKR lawan kesombongan musuh politik