‘Naik darah baca…’ – Syed Saddiq dedah senarai tujuh aset Tabung Haji rugi 100 peratus
“Kalau baca, memang naik darah.”
Itu reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas menerima jawapan bertulis Menteri di Dewan Rakyat berhubung tujuh pelaburan Tabung Haji (TH) yang dilaporkan mengalami kerugian seratus peratus.
Menurut jawapan bertulis itu, tujuh pelaburan berkenaan mencatat jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM2.581 bilion, dengan pelaburan dalam Al-Rawda Real Estates mencatat kerugian paling besar iaitu RM1.864 bilion.
Syed Saddiq berkata, lebih membimbangkan ialah lebih RM1.5 bilion dibayar secara pendahuluan atau upfront kepada Al-Rawda sebagai pihak tengah dalam pelaburan berkenaan.
“Baru dapat jawapan bertulis dari Menteri berkenaan 7 Pelaburan Tabung Haji yang rugi 100%. Paling teruk pelaburan Al Rawda. Kalau baca, memang naik darah.
“Lebih RM1.5 bilion dibayar secara upfront kepada Al-Rawda sebagai orang tengah.
“Tiada jaminan bank. Due diligence hancur.
“Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi,” katanya di platform X.
Beliau turut menyentuh manfaat pelaburan berkenaan kepada jemaah haji apabila manfaat penginapan yang dirancang tidak diterima seperti sepatutnya, manakala kutipan sewa pula terhenti selama bertahun-tahun.
“Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang. Kutipan sewa terhenti bertahun-tahun.
“Billions paid yet nothing to show for it,” katanya.
Jawapan bertulis itu turut menyenaraikan enam lagi pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus, iaitu Putrajaya Perdana Berhad (RM193.49 juta), Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.30 juta), Wellspring Worldwide Ltd (RM18 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta) dan Al-Fareeda Residential Fund (RM82 juta).
Keseluruhannya, tujuh pelaburan berkenaan menyebabkan kerugian berjumlah RM2.581 bilion, berdasarkan nilai pelaburan yang telah dirosotkan 100 peratus.
BACA JUGA Majlis Ulama Malaysia adakan persidangan khas esok, Hifz al-Mal kupas RCI Tabung Haji