‘Sabar dulu, jangan sibuk ukur langsir Putrajaya’
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek mengingatkan pihak yang sudah mula berkira-kira mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara supaya tidak terlalu awal membayangkan diri mereka berada di Putrajaya.
Dalam ucapannya pada Kongres Nasional Keadilan 2026, Fadhlina menyampaikan semangat kepada ahli kongres dengan mengingatkan bahawa perjuangan PKR dan agenda Reformasi masih belum selesai.
“Kalau hari ini ada pula yang sudah mula berkira-kira bila mahu mengambil tempat kita, pesan kepada mereka, sabar dulu. Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya lagi.
“Kerja kita belum selesai! Perjuangan kita belum selesai! Dan saudara saudari, kita belum selesai memimpin Malaysia!,” kata beliau pagi ini.
Fadhlina berkata, perjuangan PKR pada ketika ini adalah untuk memastikan perubahan yang diperjuangkan parti itu mempunyai masa mencukupi untuk disempurnakan.
Menurutnya, jika sebelum ini parti berjuang membawa agenda reformasi ke Putrajaya, perjuangan sekarang adalah memastikan agenda tersebut terus kekal di pusat pentadbiran negara.
“Sekarang tugas kita ialah memastikan perubahan yang kita perjuangkan mempunyai masa untuk disempurnakan.
“Kita pernah berjuang untuk membawa agenda reformasi ke Putrajaya. Sekarang kita berjuang supaya agenda reformasi terus kekal di Putrajaya,” katanya.
Fadhlina berkata, usaha mempertahankan mandat bukan kerana takut kehilangan kuasa, tetapi kerana parti itu yakin masih banyak perkara boleh dilakukan sekiranya diberikan masa untuk meneruskan pentadbiran.
“Bukan mempertahankan kuasa kerana kita takut kehilangannya. Tetapi mempertahankan mandat kerana kita tahu apa lagi yang boleh kita lakukan dengannya,” katanya.
BACA JUGA ‘Naik darah baca…’ – Syed Saddiq dedah senarai tujuh aset Tabung Haji rugi 100 peratus