Isu Tabung Haji: ‘Tak adil salahkan bangsa Melayu walau yang curi itu Melayu’ – Akmal Saleh
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, kesalahan yang dilakukan beberapa individu tidak seharusnya melibatkan sesebuah bangsa sehingga bangsa itu dihina dan direndahkan.
Beliau berkata, dalam isu Tabung Haji, jika terdapat individu Melayu yang mencuri, perkara itu tidak wajar dikaitkan dengan keseluruhan bangsa Melayu.
“Mencuri ini bukan soal bangsa. Ada Melayu yang mencuri. Ada Cina yang mencuri. Ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan.
“Jadi jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan. Kesalahan dalam Tabung haji, jika yang mencuri itu Melayu dan terus nak salahkan bangsa Melayu itu tidak adil.
“Kerana jangan lupa, isu korporat mafia isu terowong juga ada bangsa lain yang dituduh terlibat,adakah kita nak salahkan bangsa mereka?,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Akmal berkata, seharusnya jika didapati individu tersebut mencuri, dia seharusnya ditangkap, disiasat dan didakwa di mahkamah supaya mahkamah boleh menentukan siapa yang bersalah.
Akmal mengingatkan kerajaan supaya tidak sekadar menuding jari terhadap pihak tertentu, sebaliknya menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan.
“Jangan sudah jadi kerajaan, tetapi masih bercakap macam pembangkang. Pandai menuding jari, tetapi gagal mengambil tindakan.
“Jangan kerana pelaku itu Melayu kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu bangsa lain,kamu diam menikus!,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada ucapan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam sidang DUN baru-baru ini yang secara sinis menyentuh isu salah laku dan penyelewengan membabitkan orang Melayu Islam.
Beliau mempertikai adakah tindakan menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah jika dilakukan individu Melayu beragama Islam.
BACA JUGA Termenung memanjang Pemuda Pas, netizen ungkit pula KB Sentral hingga Amanat Hadi