Bang Mat teroka bawa balik model tani ‘satu musim padi, dua musim udang’ dari China
Malaysia berpotensi meneroka model pertanian “satu musim padi, dua musim udang” yang dilaksanakan di China sebagai usaha meningkatkan produktiviti serta pendapatan petani dan penternak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, model itu menarik perhatiannya ketika mengadakan lawatan ke Linghai Agriculture Giant River Prawn Aquaculture Base di Wuhu, Anhui, China.
Menurut Mohamad yang mesra dikenali sebagai Bang Mat, sistem berkenaan menggabungkan penanaman padi dengan penternakan udang air tawar dalam kawasan yang sama.
Pendekatan itu membolehkan penggunaan tanah dioptimumkan, selain menggabungkan keseluruhan rantaian industri daripada penternakan dan pengeluaran sehingga pemprosesan serta jualan.
“Bang Mat nampak ada potensi untuk kita meneroka model penternakan padi-udang yang mesra alam dan bersepadu seperti ini di negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan teknologi dari luar negara tidak boleh terus ditiru bulat-bulat tanpa mengambil kira keadaan tempatan.
Menurutnya, kesesuaian tanah, iklim dan ekosistem Malaysia perlu dikaji terlebih dahulu sebelum model seumpama itu boleh diperkenalkan secara lebih meluas.
Mohamad berkata, sekiranya teknologi tersebut mampu meningkatkan hasil, menambah pendapatan pengusaha dan menggunakan sumber dengan lebih cekap, kerajaan perlu melihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keperluan sektor pertanian negara.
Lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada kerjasama serta perkongsian teknologi antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang pertanian moden dan inovasi akuakultur.
“Yang baik kita pelajari, yang sesuai kita bawa pulang, dan kita sesuaikan untuk manfaat petani, penternak serta negara kita,” katanya.
BACA JUGA Hanya pandai teriak Islam, Zunar tempelak penyokong Pas curi kartun