Dari RM655 juta ke RM728 juta, bantuan JKM untuk warga emas dan OKU terus meningkat

Komitmen Kerajaan MADANI terhadap golongan rentan terus diperkukuh apabila kira-kira RM728.5 juta dibelanjakan bagi membantu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun 2026.

Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama pada 2025 apabila kerajaan menyalurkan sekitar RM655 juta menerusi dua skim utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar serta Pesakit Kronik (BPT).

Rekod rasmi Parlimen menunjukkan RM555 juta disalurkan untuk BWE dan RM100 juta bagi BPT bagi enam bulan pertama 2025.

Ini bermakna dalam tempoh hanya setahun, perbelanjaan bagi kedua-dua bantuan berkenaan bertambah kira-kira RM73.5 juta atau 11.2 peritus.

Ia sekali gus memperlihatkan lebih banyak dana kebajikan disalurkan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sehingga Jun 2026, BWE sahaja telah disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara dengan perbelanjaan melebihi RM609 juta.

Diperluaskan

Sebagai perbandingan, bagi Januari hingga Jun 2025, sebanyak RM555 juta disalurkan kepada lebih 160,000 penerima BWE, berbanding kira-kira 140,000 penerima pada 2022, menunjukkan jaringan bantuan kepada warga emas semakin diperluaskan.

Peningkatan perbelanjaan itu turut berlaku selepas kerajaan menaikkan kadar BWE daripada RM500 kepada RM600 sebulan mulai 2025, bersamaan kenaikan 20 peratus atau tambahan sehingga RM1,200 setahun bagi seorang penerima yang menerima bantuan sepanjang tahun.

Bagi BPT pula, sebanyak 42,036 penerima di seluruh negara menerima bantuan berjumlah lebih RM119.5 juta sehingga Jun 2026, meningkat berbanding lebih 30,000 penerima dengan perbelanjaan RM100 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ini bermakna perbelanjaan BPT bertambah sekitar RM19.5 juta, manakala BWE meningkat kira-kira RM54 juta dalam tempoh setahun.

Pertambahan bantuan tersebut bukan hanya tertumpu kepada satu kelompok tetapi merangkumi warga emas, OKU dan keluarga yang menjaga pesakit kronik.

Lonjakan daripada sekitar RM655 juta kepada RM728.5 juta bagi BWE dan BPT dalam tempoh enam bulan menunjukkan peningkatan peruntukan kebajikan diterjemahkan kepada bantuan sebenar kepada rakyat yang berdepan cabaran usia, ketidakupayaan dan penjagaan penyakit kronik.

BACA JUGA Hanya pandai teriak Islam, Zunar tempelak penyokong Pas curi kartun