PN makin serabut, Marzuki tempelak Takiyuddin pasal surat tunjuk sebab Bersatu

Kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) masih belumreda apabila bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Mahiaddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad kali ini mempertikaikan tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung isu kuorum kepimpinan Bersatu.

Marzuki berkata, Takiyuddin tidak mempunyai kuasa untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Bersatu hanya kerana terdapat aduan beberapa Ahli Parlimen parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai jumlah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menurutnya, kalau benar timbul persoalan sama ada MPT Bersatu cukup kuorum atau tidak, pihak yang patut dirujuk oleh Setiausaha Agung PN ialah RoS, bukannya meminta Bersatu sendiri memberikan penjelasan.

“Setiausaha Agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada RoS bukan daripada Bersatu berhubung perkara berkenaan kerana hanya RoS yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan adalah sah di sisi undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, Bersatu tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat PN selepas empat Ahli Parlimen parti itu membuat aduan kepada RoS bahawa MPT Bersatu hanya mempunyai 23 anggota, sedangkan sekurang-kurangnya 25 orang diperlukan untuk membentuk kuorum.

Mengetepikan Bersatu

Takiyuddin turut mendedahkan beliau telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 14 Julai lalu.

Surat itu bagi meminta penjelasan mengenai perkara tersebut, sebelum Bersatu tidak dipanggil menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.

Namun, bagi Marzuki, hujah itu tidak cukup untuk mengetepikan Bersatu.

Katanya, sehingga kini parti tersebut tidak menerima sebarang notis daripada RoS yang menyatakan MPT Bersatu tidak cukup kuorum atau bahawa kedudukan parti itu sebagai sebuah pertubuhan sah telah terjejas.

Malah, beliau mengingatkan bahawa Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri pada 9 Ogos lalu mengakui Bersatu masih merupakan anggota PN.

Atas alasan itu, Marzuki berkata, Bersatu sepatutnya tetap dijemput menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan pada 16 Julai.

Lebih keras, Marzuki mendakwa tindakan tidak menjemput Bersatu ke mesyuarat itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap Perlembagaan PN.

Hal ini memandangkan pada ketika tersebut tiada keputusan RoS yang membatalkan kedudukan Bersatu sebagai parti atau anggota gabungan berkenaan.

“MPT Bersatu juga telah menggunakan kuasanya di bawah Fasal 27 Perlembagaan Bersatu untuk mentafsirkan cukup korum mesyuarat MPT Bersatu dan tafsiran MPT Bersatu adalah muktamad,” kata Marzuki lagi.

BACA JUGA Hanya pandai teriak Islam, Zunar tempelak penyokong Pas curi kartun