UIAM putuskan Dr Solehah, ini rupanya penamat kontroversi ‘Rom belajar dari Melayu’
Nama Dr Solehah Yaacob yang pernah mencetuskan kontroversi dengan teori masyarakat Rom purba mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu kembali menjadi perhatian.
Kali ini bukan kerana teori baharu, sebaliknya selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan perkhidmatan beliau sebagai kakitangan akademik universiti itu telah berakhir berkuat kuasa 27 April 2026.
Lebih tegas, UIAM menjelaskan Solehah tidak lagi memegang jawatan profesor di universiti berkenaan dan tidak lagi mewakili UIAM dalam apa-apa kapasiti rasmi.
Penggunaan gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk kaitan rasmi dengan UIAM juga tidak dibenarkan, termasuk dalam media, penerbitan, iklan, media sosial dan bahan publisiti.
Penjelasan itu sekali gus mengembalikan perhatian kepada kontroversi yang melanda Solehah sejak tahun lalu apabila rakaman kenyataannya mengenai hubungan teknologi maritim Melayu dengan Rom menjadi tular.
Solehah ketika itu mempertahankan teorinya dan menjelaskan ia merupakan hipotesis penyelidikan yang dibangunkan melalui kajian terhadap sumber Arab klasik.
Kontroversi tersebut akhirnya menyebabkan UIAM menubuhkan panel inkuiri dalaman pada November 2025 untuk meneliti kenyataan berkenaan secara menyeluruh dan bebas, khususnya berkaitan isu integriti akademik.
Malah ketika kontroversi memuncak, UIAM pernah menegaskan pandangan Solehah merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.
Pensyarah berkenaan kembali diperkatakan baru-baru ini apabila beliau membentangkan teori bahawa kekayaan bijih besi di Kedah purba mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian hujan meteor pada zaman silam.
Namun, kenyataan terbaru UIAM tidak memperincikan dalam kenyataan awam itu sama ada berakhirnya perkhidmatan Solehah mempunyai hubungan langsung dengan kontroversi teori-teori tersebut atau hasil panel inkuiri berkenaan.
Apa sebenarnya yang berlaku di sebalik keputusan UIAM menamatkan hubungan dengan ahli akademik yang pernah mencetuskan antara perdebatan sejarah Melayu paling hangat itu?
BACA JUGA PN makin serabut, Marzuki tempelak Takiyuddin pasal surat tunjuk sebab Bersatu