Melaka Presiden Pas boleh sampai, sidang Parlimen pula kerap ‘uzur’
Niat asal mahu mengangkat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai “ulama” yang dinanti-nantikan jentera parti di Melaka bertukar menjadi medan sindiran netizen.
Reaksi orang ramai itu susulan hantaran di Threads oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Selangor, Suffi Kamari yang pernah ditahan dan direman dua hari dalam siasatan dakwaan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.
Menerusi perkongsiannya itu, Suffi memuji kehadiran Hadi ke Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka semalam sambil menyifatkan “bait-bait nasihat kalam ulama” Presiden Pas itu mampu menaikkan semangat jentera parti.
Namun, sebahagian besar komen lebih banyak menempelak kehadiran Hadi di program politik di Melaka tetapi sukar menghadiri sidang Parlimen.
Antaranya, pengguna @harithyaccob yang menulis, “Melaka boleh sampai, Parlimen susah nak sampai ye. Takde siapa berani tegur ke?”
Sindiran ringkas itu mendapat sekitar 1,300 tanda suka setakat ini sekaligus menunjukkan persoalan mengenai kehadiran Hadi di Parlimen lebih menarik perhatian netizen berbanding pujian dalam hantaran asal.
Seorang lagi pengguna berkata, “Datanglah Parlimen woi,” manakala @naz.urutpasirgudang pula menyindir: “Hairan aku, sidang Parlimen kuat ponteng.”
Ada juga yang memilih sindiran lebih tajam. Pengguna @firdaus_datuk menulis, “Makan malam, persidangan tebuk atap boleh pergi, untuk Parlimen uzur,” disertai emoji ketawa.
Sindiran netizen turut mengaitkan isu Tabung Haji yang sebelum ini dibahaskan di Dewan Rakyat.
Umat Islam
Seorang pengguna mempersoalkan mengapa pemimpin yang lantang bercakap mengenai isu umat Islam di luar Dewan Rakyat tidak menggunakan ruang Parlimen apabila isu membabitkan institusi umat Islam dibincangkan.
Gelaran “ulama” yang digunakan dalam hantaran asal turut tidak terlepas daripada bahan gurauan.
Ada yang menyindir dengan perkataan “Olamak”, sementara seorang lagi mempersoalkan sikap pemimpin agama yang menurutnya tidak sepatutnya bercakap berbeza mengikut keadaan politik.
Lebih pedas, seorang pengguna berpendapat sukar untuk meyakinkan rakyat jika pemimpin sendiri dipersoalkan mengenai kehadiran di tempat mereka sepatutnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Untuk rekod, Hadi dikenali antara Ahli Parlimen yang kerap tidak hadir dalam sidang Parlimen.
Pada Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat 2026, Hadi mencatat ketidakhadiran tertinggi apabila hanya hadir dua daripada 20 hari persidangan.
Bagi keseluruhan tahun 2024, analisis rekod Hansard mendapati Hadi tidak hadir 65 daripada 78 hari persidangan, iaitu hanya hadir 13 hari atau kadar kehadiran 16.7 peratus.
BACA JUGA Masa berkuasa tubuh RCI Tabung Haji, bila laporan keluar Pas pula jerit ‘Islam diserang’