Video ‘samseng jalanan’ tutup Linkedua tular, polis buka siasatan
Polis sedang menyiasat satu video tular yang memaparkan aksi “samseng jalanan” melibatkan beberapa individu yang didakwa menutup jalan awam, selain menunjukkan dua penunggang motosikal berlumba sesama sendiri di Lebuh Raya Linkedua, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee, berkata video berdurasi 33 saat itu dimuat naik di laman Facebook Community Road Johor pada 22 Ogos dan mula tular selepas memaparkan aksi berbahaya berkenaan.
Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang, membabitkan dua motosikal yang nombor pendaftaran serta jenisnya masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Katanya, aksi tersebut dipercayai berlaku dari Kilometer 33 susur Tol Senai Utara sehingga Kilometer 31 susur Johor Premium Outlet (JPO).
“Susulan penyebaran video tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti penunggang motosikal yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, siasatan turut dijalankan ke atas individu lain yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan itu dari tepi lebuh raya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang melibatkan kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507.
BACA JUGA Tak mahu ulang drama lama, PH-BN disaran ‘ikat’ kerjasama sebelum PRN Melaka