Pak Long Mail didakwa tak isytihar harta RM14 juta, timbunan mata wang asing dan 5 kg jongkong emas

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan gagal mengisytiharkan harta membabitkan wang tunai, pelbagai mata wang asing, jongkong emas, perak serta syiling emas.

Antara harta yang disebut dalam pertuduhan ialah wang tunai RM14 juta, selain SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD$352,850.

Turut disenaraikan ialah lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak serta syiling emas.

Ismail Sabri, 66, yang mesra dipanggil penyokong Barisan Nasional (BN) sebagai Pak Long Mail itu dilapor tenang sepanjang prosiding berlangsung di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mantan Naib Presiden Umno yang hadir dengan kemeja putih dan kot hitam itu kemudian mengaku tidak bersalah dan meminta kesnya dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” kata Ahli Parlimen Bera berkenaan ringkas.

Mengikut pertuduhan, Pak Long Mail didakwa memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Notis itu dikatakan dihantar kepadanya pada 10 Januari 2025 oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi, yang menghendakinya mengisytiharkan harta seperti disenaraikan dalam Lampiran A.

Namun, bekas Perdana Menteri kesembilan itu didakwa gagal mengisytiharkan harta berkenaan seperti yang dikehendaki dalam notis tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Tercipta sejarah hari ini, tiga bekas PM ‘reunion’ di mahkamah