Rancak PN pertikai, jom tengok kredibiliti tokoh disebalik RCI TH
Ketika polemik mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kembali menjadi perhatian, persoalan mengenai siapa yang menjalankan siasatan itu turut wajar dilihat berdasarkan rekod dan latar belakang enam pesuruhjaya yang dilantik.
RCI berkenaan ditubuhkan untuk menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020, dengan enam pesuruhjaya dilantik selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2022.
Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, manakala antara anggotanya ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman dan pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Tiga lagi pesuruhjaya ialah bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim, serta akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.
Pelantikan itu bukan dibuat secara rawak. Ketika pengumuman penubuhan RCI pada 2022, kerajaan Perikatan Nasional(PN) dan Barisan Nasional(BN) menyatakan kesemua anggota dipilih berdasarkan pengalaman dalam bidang kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam dan perakaunan.
Kerajaan pada ketika itu turut menyatakan bahawa anggota RCI dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan Tabung Haji bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan siasatan dilaksanakan secara telus, adil dan saksama.
Antara nama yang mungkin kurang diketahui orang ramai ialah Tan Sri Abdul Rashid Hussain. Beliau bukan sekadar tokoh korporat biasa, sebaliknya merupakan pengasas Rashid Hussain Securities pada 1983 yang kemudiannya berkembang menjadi Kumpulan RHB.
Di bawah kepimpinannya, RHB berkembang daripada sebuah syarikat sekuriti kepada kumpulan perkhidmatan kewangan yang mempunyai operasi dalam perbankan, pelaburan dan kewangan Islam. Latar belakang itu menjadikan Abdul Rashid antara tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam pasaran modal, perbankan dan pengurusan institusi kewangan.
Selain pengalaman dalam sektor korporat, beliau turut pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi berkaitan kerajaan dan sektor awam. Antaranya termasuk penglibatan dalam Khazanah Nasional, Putrajaya Holdings, Malaysia Airlines, Universiti Teknikal Malaysia Melaka serta Lembaga Tabung Haji.
Rekod kerjayanya juga menunjukkan beliau pernah terlibat dalam urusan pelaburan, tadbir urus korporat dan pengurusan organisasi berskala besar.
Abdul Rashid juga mempunyai kaitan rapat dengan Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan. Laman rasmi masjid berkenaan menyatakan ia diwakafkan oleh beliau.
Masjid yang dibina di Bandar Sri Sendayan itu mula dibina pada 2015 sebelum dirasmikan pada 20 September 2019.
Malah, pada Ogos 2026, Masjid Sri Sendayan menerima pengiktirafan sebagai “Global Outstanding Mosque of the Year 2026”, dengan anugerah itu disampaikan kepada Abdul Rashid selaku pengerusi jawatankuasa masjid.
Dalam satu wawancara, Abdul Rashid turut digambarkan sebagai tokoh korporat dan menolak label bahawa beliau merupakan lantikan politik.
Perkara itu penting kerana ia menunjukkan latar belakang beliau lebih banyak terbina daripada pengalaman dalam dunia perniagaan, kewangan dan pengurusan institusi, bukannya jawatan politik.
Nama Abdul Rashid juga mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan Tabung Haji selepas siasatan RCI. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau dan pasukan baharu di bawah Abdul Rashid mengambil langkah memperbaiki pengurusan Tabung Haji berdasarkan pandangan dan teguran yang terkandung dalam laporan RCI.
Laporan RCI itu akhirnya diterbitkan pada 29 Julai lalu. Dokumen setebal 211 halaman tersebut mengandungi penemuan siasatan serta syor penambahbaikan pengurusan dan operasi Tabung Haji.
Justeru, jika terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan laporan RCI berkenaan, ruang untuk mempertikaikan dapatan, metodologi atau kesimpulannya sememangnya terbuka dalam perbahasan awam.
Namun, persoalan mengenai kredibiliti laporan itu wajar dibahaskan berdasarkan fakta, bukti dan kandungan laporan, bukannya semata-mata dengan mempersoalkan siapa yang menganggotai suruhanjaya.
Lagipun, RCI itu bukan terdiri daripada seorang individu sahaja, sebaliknya menghimpunkan bekas Ketua Hakim Negara, bekas Ketua Setiausaha Negara, tokoh perbankan dan kewangan, ahli akademik serta pakar perakaunan.
Pendek kata, sebelum kita bertanya “siapa yang siasat?”, mungkin lebih penting untuk bertanya “apa sebenarnya yang ditemui oleh mereka?”
BACA JUGA Tercipta sejarah hari ini, tiga bekas PM ‘reunion’ di mahkamah