Teksi air Putrajaya percuma sempena sambutan Kemerdekaan 31 Ogos ini

Orang ramai yang mahu menyambut Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini tidak semestinya perlu bersesak di jalan raya memandangkan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menyediakan perkhidmatan teksi air secara percuma.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi dari jam 5 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos, sekali gus memberi pilihan lebih mudah kepada pengunjung yang mahu ke lokasi sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat membantu melancarkan pergerakan orang ramai, malah memberi peluang kepada keluarga menikmati suasana Tasik Putrajaya sebelum tiba di tapak sambutan.

“Tahun ini, bersempena dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, pihak Perbadanan Putrajaya menyediakan perkhidmatan teksi air secara percuma bermula dari 5 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos,” katanya kepada Bernama selepas meninjau persediaan pengoperasian perkhidmatan itu, hari ini.

Beliau turut menyarankan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di lokasi berhampiran terminal pengangkutan air sebelum meneruskan perjalanan menaiki teksi air ke kawasan sambutan.

“Manfaatkanlah sepenuhnya peluang ini dan saya galakkan anda untuk merancang perjalanan, boleh parkir di tempat-tempat yang berdekatan dengan terminal dan anda boleh pergi ke tapak untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan dengan selesa sambil healing di Tasik Putrajaya,” kata Fahmi lagi.

BACA JUGA RCI 2.0 atau badan khas PAC? Audit forensik 14 pelaburan TH lebih mendesak