Dari Serdang ke India dan Colombia, teknologi akuakultur Malaysia mula dieksport
Teknologi genetik dan pembiakbakaan akuakultur Malaysia bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi dua kerjasama strategik bernilai kira-kira RM56 juta yang dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Kerjasama berkenaan melibatkan syarikat tempatan YHL Aquatic Sdn. Bhd. dengan dua rakan strategik antarabangsa, Ananda Group dari India dan Benchmark Genetics dari Colombia.
Daripada jumlah itu, Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Ananda Group bernilai kira-kira RM16 juta, manakala Letter of Intent (LOI) bersama Benchmark Genetics membabitkan anggaran pelaburan RM40 juta.
Majlis pertukaran kedua-dua dokumen itu disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.
Namun, nilai terbesar kerjasama ini bukan sekadar pada jumlah pelaburan.
MoU dengan Ananda Group memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi dan kepakaran Malaysia dalam pembiakbakaan termaju serta pembangunan induk udang harimau (Penaeus monodon).
Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan Nucleus Breeding Centre (NBC) di Andhra Pradesh, India, pembangunan salasilah induk atau family line, program pembiakbakaan terpilih serta pembekalan teknologi dan kepakaran Malaysia untuk pembangunan hatcheri di negara berkenaan.
Sementara itu, kerjasama dengan Benchmark Genetics memberi tumpuan kepada dua spesies utama, iaitu udang putih (Litopenaeus vannamei) dan bawal emas (Trachinotus blochii).
Ia merangkumi perkongsian serta pemindahan teknologi bagi membangunkan program pembiakbakaan serantau, memperluas penggunaan genetik akuakultur yang ditambah baik di Malaysia dan Asia, selain membangunkan kemudahan Nucleus Breeding Centre, Broodstock Multiplication Centre dan hatcheri di Malaysia.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada pembangunan teknologi, pengkomersialan dan pengembangan perniagaan, termasuk pembentukan usaha sama strategik dalam bidang genetik serta pembiakbakaan akuakultur.
Bagi industri tempatan, penguasaan teknologi pembiakbakaan termaju ini berpotensi memberi nilai tambah melalui peningkatan kualiti induk, produktiviti dan daya tahan spesies ternakan.
Pada masa sama, penglibatan YHL Aquatic dalam kerjasama bersama pemain antarabangsa menunjukkan keupayaan syarikat tempatan untuk membawa teknologi dan kepakaran Malaysia keluar ke pasaran luar negara.
Ia sekali gus memperluas jaringan kerjasama serta peluang pengkomersialan di peringkat serantau dan global.
MAHA 2026 menjadi platform untuk menemukan pemain industri tempatan dengan rakan strategik antarabangsa bagi meneroka pelaburan, perkongsian teknologi dan pengembangan pasaran.
Dalam sektor akuakultur, tumpuan kepada teknologi genetik dan pembiakbakaan kini membuka satu lagi ruang pertumbuhan industri, dengan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi turut berusaha membawa kepakaran tempatan ke pasaran antarabangsa.
BACA JUGA Bersatu beri amaran: Jangan sampai prosiding PAC ganggu siasatan Tabung Haji