Dr Sahul sindir Sanusi: Tidak pula didoakan pecah perut ketika 22 cabutan era PN

Kenyataan keras Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Muhammad Md Nor berhubung isu perjudian kini dikritik seorang pensyarah sejarah.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin, mempersoalkan mengapa cabutan khas yang dianggap haram itu boleh meningkat kepada 22 kali pada 2021 ketika PN menjadi kerajaan Persekutuan.

Sahul berkata persoalan sebenar bukan sama ada perjudian itu haram atau sebaliknya kerana pendiriannya jelas bahawa perjudian tetap haram tanpa mengira siapa yang memerintah.

“Judi haram? Ya, tanpa ragu judi haram, walau siapapun yang menjadi kerajaan,” katanya.

Namun, beliau kemudian mempersoalkan mengapa kekerapan cabutan khas itu meningkat kepada 22 kali ketika PN memerintah.

“Cuma soalannya, mengapa tiba-tiba judi yang haram itu dinaikkan kepada 22 kali pada tahun 2021 ketika Perikatan Nasional memerintah?” soalnya.

Sahul turut menyindir nada keras yang digunakan Sanusi dalam polemik perjudian Kedah ketika ini dengan membandingkannya dengan keadaan ketika 22 cabutan khas diluluskan.

“Tidak pula didoakan pecah perut, dan tidak juga dipuji dengan celahan ‘celaka dan pelaq’. Hairan,” katanya.

Sindiran itu hadir selepas Sanusi baru-baru ini mengajak orang ramai mendoakan individu yang didakwanya menaja tindakan mahkamah terhadap dasar perjudian Kedah supaya mendapat balasan buruk. Sanusi berkata beliau mengetahui identiti individu berkenaan tetapi belum mahu mendedahkannya kerana kes mahkamah masih berjalan.

“Doa tiap-tiap hari, sebut nama dia bagi dia mati pecah perut,” kata Sanusi ketika berucap pada program penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Kedah.

Persoalan yang dibangkitkan Sahul menjadi lebih menarik apabila rekod Parlimen menunjukkan Kementerian Kewangan memang meluluskan 22 cabutan khas nombor ramalan bagi 2021.

Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan perkara tersebut dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada September 2021, selepas ditanya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Lebih penting, sebelum itu kerajaan PH telah mengurangkan kekerapan cabutan khas daripada 22 kali kepada 11 kali pada 2019 dan kemudian lapan kali pada 2020. Kekerapan itu kemudiannya kembali kepada 22 kali selepas perubahan kerajaan.

Ketika keputusan 22 cabutan itu dibuat, Pas merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadikan persoalan Sahul lebih bersifat politik daripada sekadar isu perjudian.

Namun, fakta bahawa keputusan tersebut berlaku ketika Pas berada dalam kerajaan tetap membuka ruang kepada persoalan yang dibangkitkan Sahul: mengapa tahap kemarahan dan kecaman yang sama tidak kedengaran daripada Sanusi ketika isu 22 cabutan itu berlaku?

Lebih menarik, apabila kerajaan MADANI mengambil alih Putrajaya, kekerapan cabutan khas tersebut kemudiannya dikurangkan semula daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023. Perkara itu turut direkodkan Jabatan Penerangan Malaysia.

Maka, sindiran Sahul terhadap Sanusi bukan sekadar mengenai judi.

Ia menyentuh persoalan konsistensi politik mengapa isu perjudian digunakan dengan begitu keras terhadap kerajaan hari ini, sedangkan rekod 22 cabutan khas itu berlaku ketika gabungan yang turut disertai Pas berada di Putrajaya.

BACA JUGA RCI 2.0 atau badan khas PAC? Audit forensik 14 pelaburan TH lebih mendesak