Hasil rampasan rasuah berbilion ringgit akan dipulangkan kepada rakyat
Hasil kekayaan yang dirampas kerajaan melalui proses undang-undang susulan kes rasuah dan salah guna kuasa akan dikembalikan kepada rakyat, khususnya bagi memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kekayaan negara yang diperoleh semula melalui tindakan undang-undang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan tidak akan membiarkan hasil rampasan daripada kegiatan haram berakhir begitu sahaja, sebaliknya akan menyalurkannya kembali untuk kepentingan awam.
“Kalau pun ada tindakan merampas kekayaan daripada tindakan badan kehakiman, undang-undang atas ketelanjuran mana-mana syarikat atau perorangan, rasuah atau salah guna kuasa yang mencecah berbilion ringgit,” katanya pada Amanat Perdana Menteri Sempena Pelancaran Hari kemerdekaan di Putrajaya.
Anwar kemudian mengumumkan bahawa hasil rampasan berkenaan akan digunakan semula bagi tujuan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pada hari ini saya isytiharkan semua dana yang dirampas dari hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman, semua ini berbilion ringgit akan dipulangkan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi dan kekayaan negara tidak seharusnya hanya dinikmati oleh kelompok tertentu.
Sebaliknya, hasil yang berjaya diperoleh semula melalui proses penguatkuasaan dan keputusan mahkamah perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang boleh dirasai, terutama menerusi sektor asas seperti pendidikan dan kesihatan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau mengumumkan beberapa langkah baharu kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan, termasuk peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion bagi 2027 serta peruntukan sekitar RM1 bilion untuk pendigitalan sistem kesihatan awam.
Anwar berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan negara bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat.
“Kita lakukan sebaiknya,” katanya.
BACA JUGA PMX umum 6 langkah baharu sempena merdeka, RON95 kini 300 liter sebulan