RM1 bilion untuk kesihatan awam: 150 hospital, 2,000 klinik bakal diperkasa secara digital

Sistem kesihatan awam negara bakal diperkukuh dengan pelaburan RM1 bilion bagi meningkatkan kecekapan digital, termasuk pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan ketersambungan internet di seluruh fasiliti kesihatan kerajaan.

Langkah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan perkhidmatan kesihatan awam lebih pantas dan cekap.

Menurut Anwar, peruntukan berkenaan akan meliputi 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam,” katanya.

Pelaksanaan EMR dijangka membolehkan maklumat perubatan pesakit direkod dan dikongsi secara lebih sistematik, sekali gus membantu petugas kesihatan mendapatkan maklumat diperlukan dengan lebih pantas.

Pada masa sama, peningkatan ketersambungan internet di fasiliti kesihatan awam dilihat penting bagi memastikan sistem digital dapat beroperasi dengan lebih lancar, terutama di klinik dan hospital yang masih berdepan kekangan infrastruktur digital.

Anwar berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan rawatan serta mengurangkan tempoh menunggu rakyat ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam.

Inisiatif berkenaan merupakan antara beberapa langkah baharu kerajaan yang akan dilaksanakan mulai 1 September 2026, dengan fokus untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

BACA JUGA Hasil rampasan rasuah berbilion ringgit akan dipulangkan kepada rakyat