Azizulhasni nak ke LA28, KBS kata ‘kita selesaikan’ isu komunikasi

Polemik mengenai perancangan Datuk Mohd Azizulhasni Awang ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) kini dilihat sebagai ruang untuk memperkemas komunikasi antara atlet, persatuan sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tanggungjawab terhadap kelompangan komunikasi yang berlaku dan mahu memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.

Menurutnya, komunikasi yang lebih tersusun antara semua pihak penting bagi memastikan atlet mendapat kejelasan mengenai perancangan dan hala tuju mereka, khususnya dalam persediaan menghadapi temasya besar seperti Olimpik.

“Jika ada communication breakdown atau kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.

“Komunikasi yang baik daripada MSN, atlet dan persatuan adalah sangat penting supaya tidak berlaku sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat MSN mengenai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS, di sini hari ini.

Isu berkenaan menjadi perhatian selepas Azizulhasni menerusi surat atau kenyataan panjangnya menjelaskan kedudukan beliau berhubung hasrat meneruskan misi ke LA28.

Dalam penjelasan itu, pelumba berusia 38 tahun berkenaan antara lain menegaskan bahawa persoalan utama bukan sekadar sama ada beliau mahu meneruskan karier sehingga LA28, tetapi sama ada khidmatnya masih diperlukan negara untuk mencapai sasaran tersebut.

Azizulhasni turut menjelaskan keperluan mendapatkan kepastian lebih awal bagi membolehkan beliau menyusun perancangan latihan, pertandingan, komitmen keluarga dan penajaan.

Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian KBS dan MSN, sekali gus membuka ruang untuk kedua-dua pihak memperjelas kedudukan atlet berkenaan dalam perancangan Olimpik negara.

Dalam perkembangan terbaharu, MSN mengesahkan Azizulhasni akan meneruskan misi LA28 sebagai antara pelumba trek negara yang bertanggungjawab mengumpul mata kelayakan Olimpik.

Keputusan itu memberi kelegaan kepada kem berbasikal negara, terutama selepas timbul persoalan mengenai hala tuju pelumba berpengalaman itu dalam kempen kelayakan Olimpik.

Taufiq berkata pengalaman daripada isu tersebut perlu dijadikan pengajaran supaya hubungan dan penyampaian maklumat antara atlet, MSN serta persatuan sukan menjadi lebih jelas selepas ini.

Katanya, matlamat utama semua pihak adalah memastikan atlet dapat memberi tumpuan kepada persediaan dan prestasi tanpa dibebani kekeliruan mengenai kedudukan mereka.

Pendekatan itu juga penting bagi memastikan setiap perancangan atlet elit negara dapat diselaraskan dengan program pembangunan serta sasaran Olimpik Malaysia.

Dalam kes Azizulhasni, beliau kini mempunyai kejelasan untuk meneruskan usaha mengumpul mata kelayakan menuju LA28.

Polemik berkenaan akhirnya bukan sahaja menghasilkan keputusan mengenai masa depan Azizulhasni, tetapi turut menjadi peringatan bahawa komunikasi yang jelas antara atlet dan pengurusan sukan sama penting dengan program latihan dalam memburu kejayaan Olimpik.-BERNAMA.

BACA JUGA Tandas pun tak lepas, anak Kelantan sendiri ‘bagi markah’ kebersihan negeri