RM180,000 sehari sebelum DUN bubar: SPRM kata kerajaan masih ada kuasa
Peruntukan RM180,000 yang diluluskan kepada ADUN Pakatan Harapan (PH) sehari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan tidak dengan sendirinya menimbulkan isu dari sudut kuasa kerajaan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pentadbiran yang masih sah ketika itu mempunyai kuasa untuk membuat dasar dan mengumumkan peruntukan selagi keputusan berkenaan tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan.
Menurutnya, keadaan itu berbeza jika peruntukan berkenaan dibuat selepas DUN dibubarkan, ketika kerajaan sudah memasuki fasa sebagai kerajaan sementara.
“Kerajaan yang berkuasa dan memerintah boleh membuat apa sahaja polisi asalkan polisi terbabit tidak menyanggah undang-undang dan juga Perlembagaan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Abd Halim berkata, kerajaan sementara pula tidak sepatutnya membuat dasar baharu atau memberikan peruntukan yang boleh mengikat pentadbiran yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.
“Kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar baharu atau memberikan peruntukan yang boleh mengikat kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihan raya.
“Jika seandainya peruntukan itu diisytiharkan ataupun diberikan di dalam waktu kerajaan sementara iaitu selepas DUN dibubarkan, itu berbeza,” katanya memetik laporan FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SPRM akan menyiasat dakwaan peruntukan RM180,000 disalurkan kepada ADUN PH sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, penjelasan itu bukan bermakna SPRM mengesahkan peruntukan berkenaan bebas daripada unsur rasuah atau penyelewengan.
Sebaliknya, Abd Halim berkata, perkara itu hanya boleh dinilai berdasarkan fakta dan laporan yang diterima pihak berkuasa.
Isu tersebut timbul selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mengarahkan 17 ADUN PH serta dua penyelaras DUN di bawah pentadbiran terdahulu memulangkan peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN.
Menurut beliau, setiap bekas exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September, manakala 10 ADUN PH serta dua penyelaras DUN Labu dan Paroi masing-masing perlu memulangkan RM174,000 dan RM150,000 bagi peruntukan Julai hingga September.
BACA JUGA Kalau nak ‘tiaw’ PMX pun semaklah dulu Akmal, takut peluru kena diri sendiri