Pas nampak lebih terhegeh-hegeh pilih bilik, BN masih pegang kunci Melaka
Pas dan Perikatan Nasional (PN) nampak lebih terhegeh-hegeh mengejar BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Buktinya, lebih banyak kenyataan dikeluarkan Pas yang cuba membina persepsi bahawa kerjasama dengan BN sedang berlaku.
Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 23 Ogos lalu contohnya, menyebut “semakin hampir mencapai persefahaman”.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan rundingan dengan BN sudah bermula dan menganggap perkembangannya sebagai “sangat positif”, dengan mengambil semangat kerjasama yang terjalin di Johor dan Negeri Sembilan.
Namun, lain pula reaksi Umno-BN. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak membalas dengan bahasa setara seperti hampir sepakat dengan PN.
Bahkan, Presiden Umno berkenaan masih meletakkan PH dan PN dalam gelanggang rundingan yang sama.
Tidak sedar diri
Pas pula ketika begitu optimis dengan hasil rundingan bersama BN dilihat tidak sedar diri walaupun tidak memiliki satu kerusi DUN pun di Melaka.
Parti dipimpin Abdul Hadi itu mahukan kerjasama dengan BN tetapi mahu kedudukan tawar-menawar yang setara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 16 Ogos lalu dilaporkan mahu formula Negeri Sembilan dijadikan asas dan mengingatkan supaya tiada konsep “abang besar, abang kecil” dalam rundingan di Melaka.
Walhal, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setakat ini hanya menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk PKR dan Pas.
Beliau bagaimanapun berkali-kali mengingatkan bahawa rundingan tidak semestinya berakhir dengan persetujuan atau kerjasama politik.
Malah, apabila ditanya media pada 27 Ogos lalu mengenai kemungkinan tiga pemimpin kanan Pas datang mengadakan perbincangan dengannya, Ab Rauf tidak menutup pintu.
Walau bagaimanapun, beliau pada masa sama meletakkan satu garisan merah yang cukup jelas iaitu BN tidak akan berkompromi terhadap 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN lalu.
Pembahagian sama rata
Ini bermakna Pas atau PN memang boleh datang berunding tetapi titik permulaan yang ditetapkan Ab Rauf bukanlah pembahagian sama rata.
BN mahu mempertahankan 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala hanya baki tujuh kerusi menjadi ruang yang boleh dibincangkan termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
Apa lagi perlunya PN ketika BN sudah pun melepasi majoriti mudah 15 kerusi dengan selesa tanpa Pas dan Bersatu?
Penguasaan BN di 21 kerusi itu pada PRN 2021 menunjukkan BN sebenarnya tidak memerlukan PN untuk cukup nombor apatah lagi bukan pihak yang sedang mencari talian hayat politik.
Sebaliknya, Pas-PN yang perlu menyesuaikan diri dengan kekuatan BN Melaka, bukannya BN yang terpaksa bergantung kepada PN.
Untuk rekod, keputusan PRN 2021 menyaksikan BN memperoleh kira-kira 38.4 peratus undi popular, PH sekitar 35.8 peratus dan PN hanya 24.3 peratus
PN ketika itu hanya berjaya membawa pulang dua kerusi iaitu Sungai Udang dan Bemban. Itu pun kedua-duanya dimenangi Bersatu bukannya Pas dengan majoriti tipis, masing-masing 530 dan 328 undi.
Jadi, tidak berbaloi untuk BN mengejar PN sebagai pasangan jika mahu terus menguasai Melaka pada PRN akan datang.
Pintu rundingan memang belum tertutup, tetapi kunci masih di tangan BN Melaka.
Jika Pas-PN mahu masuk, mereka perlu datang sebagai pihak yang sedar diri bukannya sebagai tetamu yang baru sampai tetapi sudah sibuk memilih bilik.
BACA JUGA RCI Tabung Haji: Bila amanah umat bertembung dengan kuasa politik