Anwar ziarah ulama besar al-Azhar, bawa pesan pelihara turath tanpa menolak teknologi

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menziarahi ulama besar al-Azhar, Al-‘Allāmah Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Shihawi al-Husaini al-Asy‘ari al-Syafi‘i di Nasyrul Quran, Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, beliau berkesempatan bertemu tokoh kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir itu pada petang tadi.

Menurutnya, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz merupakan antara ulama besar Syafi‘iyyah di al-Azhar, selain menjadi Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh bagi Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.

Beliau turut dikenali sebagai ahli fiqh dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ al-Azhar yang tekun mempertahankan tradisi talaqqi kitab turath.

Anwar berkata, kekuatan hafazan ulama berkenaan juga luar biasa, termasuk penguasaan dalam pelbagai cabang ilmu agama, hadith serta qiraat al-Quran.

“Pesanan Syeikh antara lain mengingatkan tanggungjawab kita memelihara turath sebagai khazanah yang menghubungkan kita dengan tradisi keilmuan yang Panjang,” kata Anwar.

Dalam pertemuan itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz antara lain menitipkan pesanan mengenai tanggungjawab memelihara turath sebagai khazanah yang menghubungkan umat Islam dengan tradisi keilmuan yang panjang.

Ulama berkenaan, kata Anwar, turut menekankan bahawa antara keistimewaan al-Azhar ialah kekuatan isnad serta kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara secara turun-temurun.

Pada masa sama, perkembangan teknologi baharu menurut Syeikh ‘Abd al-‘Aziz tidak harus ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk mendokumentasi serta melestarikan khazanah ilmu tersebut.

Anwar turut memetik pesanan Imam al-Syafie Rahimahullah yang mengingatkan bahawa mereka yang tidak merasakan kepayahan menuntut ilmu walaupun sesaat akan menanggung kepahitan kejahilan sepanjang hayat.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Syeikh ‘Abd al-‘Aziz, mengurniakan kesihatan, memanjangkan usia dalam keberkatan serta menjadikan segala ilmu yang dicurahkan sebagai amal jariah yang berpanjangan.

BACA JUGA RM2.1 bilion jadi persoalan, Guan Eng mahu Zahid jawab isu perbelanjaan KKDW