Bukan hanya jawatan PM, Pemuda Pas mahu semua kerusi yang dah dimenangi kekal

Belum pun rundingan rasmi kerjasama Pas-Umno bermula, Pemuda Pas sudah memberikan isyarat bahawa parti itu bukan sahaja mahu menyasarkan jawatan Perdana Menteri, malah bertanding untuk semua kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Ini bermakna, Umno bakal tidak ada kerusi langsung di Terengganu dan hanya beberapa kerusi sahaja di Kelantan, Kedah dan Perlis.

Pemuda Pas meluluskan usul supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti itu kekal ditandingi calon Pas, termasuk ketika bekerjasama dengan parti lain.

Usul yang dibawa Pemuda Pas Padang Terap itu diterima sebulat suara tanpa perbahasan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, ketetapan tersebut bertujuan memelihara amanah pengundi dan menjadi prinsip utama dalam rundingan pembahagian kerusi dengan rakan politik.

Namun, tuntutan Pemuda Pas tidak terhenti pada soal kerusi. Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad turut menggesa supaya Pas menerajui usaha penyatuan politik dan tidak lagi memberi laluan kepada parti lain untuk mengisi jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, Pas mempunyai calon yang mencukupi serta berkelayakan untuk memimpin kerajaan Persekutuan dan perlu menjadi peneraju utama di Putrajaya.

Perwakilan Pemuda Pas Terengganu, Mukhlis Hasin pula menegaskan Pas perlu memimpin sebarang usaha penyatuan dan tidak sekadar menjadi “pak turut” kepada parti lain.

Pendirian itu dijangka merumitkan rundingan dengan Umno. Jika semua kerusi kemenangan Pas mahu dikekalkan dan jawatan Perdana Menteri turut disasarkan, Umno perlu menjelaskan peranan yang tinggal untuk parti itu dalam kerjasama berkenaan.

Pas kini memiliki 43 kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Umno, sekali gus memberikan parti Islam itu kedudukan lebih kuat untuk menentukan syarat rundingan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini turut menyatakan kesediaan BN menghadapi PRU16 lebih awal. Pemimpin Pas kemudian menyokong cadangan tersebut bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Namun, kesepakatan mengenai tarikh pilihan raya tidak bermakna kedua-duanya sudah bersetuju tentang pembahagian kuasa. Soal kerusi, calon dan siapa bakal mengetuai kerajaan masih menjadi pertarungan sebenar.

Mesej daripada Pemuda Pas kini jelas: Pas tidak mahu sekadar menjadi penumpang dalam kerjasama politik. Parti itu mahu mengekalkan semua kerusinya dan turut memegang stereng menuju Putrajaya.

Jika Pas mahukan kerusi yang dimenanginya serta jawatan Perdana Menteri, persoalan kepada Umno semakin besar — dalam kerjasama ini, Umno sebenarnya akan mendapat apa?

BACA JUGA Tak ada peluang untuk parti lain, Pas ‘target’ nak isi kerusi Perdana Menteri