Dulu Timbalan Presiden, kini Setiausaha Agung saja wakil Umno: Hubungan Umno-Pas sudah turun darjat?

Kehadiran semula pemimpin Umno ke Muktamar Pas selepas tujuh tahun mencuri perhatian, tetapi kedudukan ketua delegasinya turut mengundang persoalan mengenai tahap sebenar hubungan kedua-dua parti itu.

Pada Muktamar Pas 2019, Umno menghantar rombongan besar yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau turut diiringi beberapa naib presiden serta pemimpin kanan parti.

Namun, pada Muktamar Pas Ke-72 hari ini, Umno hanya diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bersama Ketua Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan beberapa pemimpin lain.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada awalnya dijangka mengetuai rombongan itu. Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Ahmad Zahid tidak dapat hadir pada saat akhir kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.

Perubahan tersebut menyebabkan Asyraf mengambil tempat Ahmad Zahid dan mengetuai delegasi Umno.

Meskipun Pas menyifatkan kehadiran itu sebagai detik bersejarah bagi usaha penyatuan ummah, perbandingan dengan 2019 memberikan gambaran politik yang berbeza.

Tujuh tahun lalu, Umno dan Pas sedang membina kerjasama rapat yang kemudiannya melahirkan Muafakat Nasional. Kehadiran Mohamad Hasan bersama barisan kepemimpinan tertinggi Umno ketika itu menjadi simbol bahawa Pas dianggap rakan strategik utama.

Kali ini, kehadiran Asyraf membuktikan pintu rundingan masih terbuka. Namun, Umno dilihat lebih berhati-hati dan belum menunjukkan komitmen kepemimpinan tertinggi seperti yang dipamerkan pada 2019.

Taraf wakil sesebuah parti lazimnya membawa mesej politik tersendiri. Apabila Timbalan Presiden digantikan dengan Setiausaha Agung sebagai ketua delegasi, timbul persoalan sama ada hubungan Umno–Pas benar-benar sedang dipulihkan atau sekadar hubungan diplomatik biasa.

Pas mungkin mahu membaca kehadiran itu sebagai langkah menuju penyatuan baharu.

Namun bagi Umno, ia mungkin sekadar menjaga silaturahim tanpa membawa maksud bahawa parti itu bersedia menghidupkan semula Muafakat Nasional.

BACA JUGA Bukan hanya jawatan PM, Pemuda Pas mahu semua kerusi yang dah dimenangi kekal