Tengku Zafrul sahkan, Pas ada dalam Kabinet ketika kerajaan naikkan judi kepada 22 kali setahun
Pas yang lantang menentang perjudian kini berdepan persoalan selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan keputusan menaikkan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun dibuat secara kolektif oleh Kabinet terdahulu yang turut disertai menteri daripada parti itu.
Bekas Menteri Kewangan berkenaan menolak usaha pihak tertentu yang cuba meletakkan keseluruhan tanggungjawab keputusan tersebut ke atas bahunya seorang.
Menurut Zafrul, keputusan itu merupakan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri dalam kerajaan ketika itu, termasuk menteri yang mewakili Pas.
Beliau menjelaskan bahawa cabutan khas nombor ramalan bukan perkara baharu kerana sudah diperkenalkan sejak 1999, manakala had maksimum 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional.
Ketika pandemik Covid-19, kerajaan terdahulu kembali menggunakan had 22 cabutan tersebut dan perkara itu turut dimaklumkan kepada Parlimen menerusi jawapan rasmi.
Penjelasan itu membuka semula persoalan mengenai kedudukan menteri Pas ketika keputusan berkenaan dibuat.
Jika Pas benar-benar menentang perjudian atas dasar agama dan prinsip, adakah wakilnya dalam Kabinet membantah keputusan tersebut? Jika mereka membantah, adakah bantahan itu direkodkan atau dinyatakan kepada rakyat?
Pas tidak boleh hanya lantang bercakap mengenai judi apabila berada di luar kerajaan, tetapi berdiam diri ketika wakilnya berada dalam pentadbiran yang membuat keputusan menambah cabutan khas.
Zafrul turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani sudah mengurangkan jumlah cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran pada Disember 2022.
Fakta itu memberikan gambaran yang berbeza daripada naratif politik bahawa kerajaan sekarang lebih mesra perjudian. Dalam isu cabutan khas, jumlahnya bukan ditambah oleh Kerajaan Madani, sebaliknya dikurangkan.
Kenyataan Zafrul kini meletakkan bola di gelanggang Pas. Parti itu perlu menjelaskan peranan menterinya dalam keputusan Kabinet terdahulu dan bukan sekadar mengalihkan kesalahan kepada seorang bekas Menteri Kewangan.
Kalau judi dianggap haram dan mesti ditentang, prinsip itu sepatutnya sama ketika berada dalam kerajaan atau pembangkang. Rakyat kini menunggu satu jawapan mudah daripada Pas: ketika 22 cabutan khas diluluskan, menterinya membantah atau bersetuju?
BACA JUGA Bukan hanya jawatan PM, Pemuda Pas mahu semua kerusi yang dah dimenangi kekal