ANALISIS │Putrajaya bukan idea Anwar, idea Anwar membina manusia

Betul ke dakwaan yang mengatakan Anwar Ibrahim adalah orang yang memberi idea untuk membangunkan Putrajaya?

Hakikatnya, Putrajaya bukanlah idea Anwar. 

Tetapi kalau mahu bercakap tentang idea dan sumbangan beliau sepanjang berada dalam kerajaan, senarainya jauh lebih panjang daripada sekadar membina sebuah bandar pentadbiran.

Ketika menjadi Menteri Pertanian, Anwar memperkenalkan Pasar Tani sebagai ruang pemasaran terus untuk petani dan pengeluar. 

Semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan pula, lahir SUKMA atau Sukan Malaysia yang menjadi medan mencungkil bakat atlet dari seluruh negara.

Apabila menjadi Menteri Pendidikan, perubahan turut berlaku dalam sistem persekolahan. 

Pendidikan agama diperkasakan di sekolah harian, manakala pemakaian baju kurung dalam kalangan pelajar perempuan Islam semakin digalakkan. 

Pendekatannya ketika itu bukan sekadar mengejar pencapaian akademik, tetapi turut memberi perhatian kepada nilai dan pembentukan sahsiah.

Sumbangan Anwar dalam pembangunan institusi Islam juga besar. 

Beliau terlibat dalam gerakan yang melahirkan Koperasi Belia Islam dan kemudiannya memperjuangkan perkembangan sistem perbankan Islam. 

Ketika menjadi Menteri Kewangan, sektor kewangan Islam terus diperkasakan sehingga Malaysia kemudiannya muncul sebagai antara pusat penting kewangan Islam dunia.

Dalam bidang pendidikan dan pemikiran Islam pula, nama Anwar sering dikaitkan dengan perkembangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta institusi pemikiran seperti ISTAC dan IIIT.

Namun antara legasi yang paling dekat dengan rakyat ialah usaha membasmi kemiskinan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia. 

Dengan mengambil inspirasi daripada model kredit mikro Profesor Muhammad Yunus di Bangladesh, pendekatan itu membuka ruang kepada keluarga miskin membina kehidupan lebih baik melalui peluang ekonomi.

Jauh sebelum menjadi Perdana Menteri, Anwar juga pernah mengasaskan Yayasan Anda Akademik. 

Institusi itu menawarkan pendidikan dengan yuran rendah kepada anak muda yang memerlukan peluang kedua, sambil menggabungkan akademik, disiplin dan pembinaan rohani.

Sebab itu, kalau mahu mencari “idea Anwar”, jangan hanya cari bangunan besar, menara tinggi atau kota pentadbiran.

Idea Anwar sejak dahulu ialah membina manusia, memberi pendidikan, membuka peluang, mengangkat maruah dan membebaskan rakyat daripada kemiskinan.

Itulah gagasan yang hari ini diterjemahkan sebagai Malaysia MADANI.

BACA JUGA Hadi dituntut jawab adakah Pas kompromi kedaulatan negara?