Hadi dakwa AS mahu jatuhkan kerajaan, PKR: Jangan main isu kedaulatan
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, dakwaan berkenaan terlalu serius untuk dibiarkan sebagai retorik politik kerana ia menyentuh soal kedaulatan negara, keselamatan nasional serta kemungkinan campur tangan kuasa asing dalam demokrasi Malaysia.
Menurutnya, Abdul Hadi perlu menjelaskan secara terperinci perkara yang didakwa berlaku dan tidak sekadar membuat dakwaan berkenaan di pentas Muktamar Pas.
“Tan Sri Abdul Hadi tidak boleh sekadar membuat dakwaan sebesar ini di pentas Muktamar kemudian menganggap perkara itu selesai. Kemukakan bukti,” katanya dalam kenyataan.
Sivamalar berkata, jika benar sebuah kuasa asing pernah menawarkan bantuan kepada pemimpin parti politik untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, perkara itu wajar disiasat dan tindakan sewajarnya perlu diambil.
Sehubungan itu, beliau meminta Abdul Hadi mendedahkan identiti pegawai AS yang didakwa membuat tawaran berkenaan, lokasi dan tarikh pertemuan, bentuk bantuan yang ditawarkan serta pihak yang hadir.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara itu tidak didedahkan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya Pas sememangnya mengetahui mengenai dakwaan campur tangan asing tersebut sejak 2014.
“Adakah ia pernah dilaporkan kepada pihak polis, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara atau Perdana Menteri ketika itu? Jika tidak, mengapa?” soalnya.
Pada masa sama, Sivamalar berkata, persoalan semakin timbul apabila kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai pertemuan tersebut dilaporkan tidak sepenuhnya selari dengan dakwaan yang dibuat Abdul Hadi.
Katanya, isu berkenaan bukan soal mempertahankan AS, sebaliknya berkaitan usaha mempertahankan maruah dan kedaulatan Malaysia daripada sebarang bentuk campur tangan asing.
“Jika dakwaan Tan Sri Abdul Hadi benar, negara berhak mengetahui keseluruhan kebenaran dan tindakan sewajarnya mesti diambil terhadap sebarang campur tangan asing,” katanya.
Namun, Sivamalar berkata, sekiranya Abdul Hadi gagal mengemukakan bukti sahih, beliau perlu bertanggungjawab termasuk membuat permohonan maaf kerana dakwaan sedemikian berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia serta kredibiliti negara.
Semalam, Abdul Hadi mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara, ketika satu pertemuan di Kedutaan AS pada 2014, namun dakwaan itu hari ini dinafikan oleh Ketua Misi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H. Gamble Jr.
BACA JUGA 1,100 semarak semangat merdeka di Fun Walk Jiwa Merdeka HTJ 2.0